Berita Terkini

BERITA BENCANA TERKINI

Status Pembukaan Jalan Persekutuan.
09/01/2008

Sehingga laporan terkini (9 Januari 2008), Jalan Persekutuan FT 1579 di Pahang dan FT 008 di Kelantan yang ditutup berikutan kejadian tanah runtuh telah dibuka semula kepada semua kenderaan.

Di Negeri Pahang, Jalan Persekutuan FT 1579, KM 31, Jalan Triang Satu-Tembangau (Daerah Bera) telah dibuka semula kepada semua kenderaan pada 8 Januari 2008 selepas kerja pembaikan siap dijalankan. Manakala di Negeri Kelantan, 2 jalan lencongan di Jalan Persekutuan FT 008, Jalan Gua Musang-Kuala Krai (KM 55 dan 67 dari Gua Musang) telah dibuka 2 lorong kepada semua kenderaan mulai 7 Januari 2008.

Oleh:S.M. Amirullah B. Zainal
oooo
Situasi Terkini Banjir dan Ramalan Cuaca.
05/01/2008

Sehingga minggu pertama Januari 2008, keadaan banjir di Negeri Pahang, Kelantan dan Johor telah pulih sepenuhnya. Ini terbukti dengan paras air banjir yang telah surut dan keadaan cuaca yang semakin baik. Bagaimanapun, amaran keadaan hujan masih dikeluarkan sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku Hujan Monsun Timur Laut Kedua.

Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) telah mengeluarkan amaran keadaan hujan yang dijangka menimpa negeri Johor dan Pahang seperti berikut-

a.  Bagi Negeri Johor terutamanya di daerah Mersing, Kota Tinggi, Segamat, Kluang dan Johor Bahru dijangka berlaku hujan sederhana kadangkala lebat dari semasa ke semasa yang akan berterusan sehingga Selasa, 8 Januari 2008. Manakala bagi daerah lain seperti Muar, Batu Pahat dan Pontian hujan sederhana kadangkala lebat dijangka berlaku dan akan berterusan sehingga Ahad, 6 Januari 2008.

b.  Bagi Negeri Pahang terutamanya di daerah Kuantan, Rompin, Pekan, Maran dan Bera dijangka berlaku hujan sederhana kadangkala lebat dari semasa ke semasa yang akan berterusan sehingga Selasa, 8 Januari 2008.

 

Oleh:S.M. Amirullah Zainal
oooo
Status Semasa Kejadian Bencana
03/01/2008

Kejadian bencana banjir yang melanda negeri yang terlibat sebelum ini seperti Johor, Pahang dan Kelantan telah pulih berikutan paras air yang telah surut dan keadaan cuaca yang bertambah baik. Pemulihan banjir ini jelas menyumbang kepada pembukaan semula semua Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri yang terdahulunya ditutup berikutan paras air yang melebihi tahap bahaya.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri yang terpaksa ditutup kepada semua kenderaan disebabkan oleh kejadian tanah runtuh yang melanda. Terdapat 6 daerah yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh di Negeri Pahang manakala di Negeri Kelantan dan Negeri Johor masing-masing terdapat 1 daerah yang terlibat.

 

 

Oleh:S.M Amirullah Zainal
oooo
Bilik Gerakan Bencana, Ibu Pejabat JKR Beroperasi di Peringkat II
02/01/2008

Adalah dimaklumkan bahawa Bilik Gerakan Bencana, Ibu Pejabat JKR Malaysia akan beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang mulai 2 Januari 2008. Senarai nama dan jadual petugas-petugas bagi Bilik Gerakan Bencana (2007-2008) Peringkat II boleh disemak di laman web bencana alam di alamat http:www.jkr.gov.my/bencanaalam.

Walaubagaimanapun operasi bilik gerakan ini akan dibuka semula kepada Peringkat III sekiranya banjir gelombang kedua melanda negara.

Oleh:fazleen
oooo
Perkembangan Banjir Terkini
30/12/2007

Keadaan banjir di negeri Pahang bertambah baik dan semua bilik gerakan negeri telah ditutup pada 28/12/2007 pukul 6.00 petang. Walaubagaimanapun, Bilik Gerakan Bencana  di Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur masih beroperasi 24 jam (peringkat 3) seperti biasa. Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Oleh:Hj. Jaafar bin Ahmad
oooo
Pembukaan semula Jalan Persekutuan FT003, Jalan Kuantan-Pekan
28/12/2007

Jalan Persekutuan FT003, KM 25, Jalan Kuantan-Pekan, (Jambatan Sungai Baung) yang ditutup akibat tanah mendap pada  26 Disember 2007 telah dibuka semula kepada semua kenderaan pada 27 Disember 2007 selepas selesai kerja-kerja pembaikan.

Oleh:S.M. Amirullah B. Zainal
oooo
Pembukaan Lencongan Jalan Persekutuan, FT008 Gua Musang-Kuala Krai
28/12/2007

Jalan Persekutuan FT008, Jalan Gua Musang-Kuala Krai yang terdahulu ditutup kepada semua kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh telah dibuka semula selorong kepada kenderaan ringan pada 25 Disember 2007 lalu. Laluan ini dibuka semula selepas kerja pembinaan lencongan selorong di KM 55 dan 67 telah siap dibina 24 Disember 2007 lalu dan terbaru lencongan lorong kedua sedang dijalankan dan dijangka dibuka kepada trafik pada 31 Disember 2007 kelak.

Oleh:S.M. Amirullah B. Zainal
oooo
Banjir Semakin Pulih
27/12/2007

Tahap pemulihan banjir di negeri-negeri yang terlibat seperti Kelantan dan Pahang telah bertambah baik berbanding minggu sebelumnya.

Keadaan ini jelas dengan pembukaan semula Jalan Persekutuan utama kepada trafik berikutan paras air yang telah surut dan kejadian runtuhan kecil yang telah dibersihkan. Bagaimanpun, bagi Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri yang melibatkan kejadian tanah runtuh atau jalan mendap (major failure), jalan tersebut masih ditutup bagi tujuan keselamatan pengguna dan kerja pembaikan.

Secara keseluruhannya, keadaan banjir di Pahang telah bertambah baik berbanding minggu sebelum ini dan beberapa bilik gerakan daerah telah mula ditutup seperti Bera, Rompin, Bentong, Jerantut, Raub,Temerloh dan Lipis.

 

Oleh:fazleen
oooo
Status Terkini Pembukaan dan Penutupan Jalan
26/12/2007
Bencana banjir yang melanda negeri-negeri yang terlibat seperti Kelantan, Pahang dan Johor telah mula menampakkan pemulihan terbaik dengan pembukaan semula Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri kepada trafik yang dahulunya ditutup berikutan aras air banjir yang melepasi aras bahaya dan kejadian tanah runtuh.

Sehingga laporan terkini 25 Disember 2007 jam 5.00 petang, keadaan banjir di daerah Pahang telah bertambah pulih dengan pembukaan semula Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri yang ditutup sebelum ini seperti:-

 

a.                  Jalan Persekutuan FT003, KM 24-31, Jalan Kuantan-Pekan (daerah Kuantan)

b.                  Jalan Negeri C17, di KM 27, Jalan Kampung Ubai-Cherok Paloh yang dibuka kepada kenderaan berat sahaja.(daerah Kuantan)

c.                  Jalan Negeri C08, di KM 18 & 19, Jalan Kuala Bera (daerah Bera)

 

 Berikut adalah bilangan Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di daerah Pahang yang masih lagi ditutup:- 


Negeri Pahang

Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri yang ditutup

Daerah

Jalan Persekutuan

Jalan Negeri

Pekan

1

5

Kuantan

1

1 (ditutup kepada kenderaan ringan)

Maran

3 (ditutup selorong)

4

Bera

1

0

Rompin

1

0

Jerantut

2

0

Raub

1

0

 Bagi Negeri Kelantan, berikut adalah jadual menunjukkan Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri yang masih ditutup dan dibuka selorong (disebabkan kejadian tanah runtuh / jalan mendap) di daerah Gua Musang, Kelantan:-

Bil.

Jalan Negeri

Jalan Persekutuan

Status

1

 

FT008, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, KM 67, Sungai Lakit

Ditutup kepada semua kenderaan

2

 

FT008, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, KM55

3

D29, Jalan Gua Musang-Jelawang-Dabong, KM 55 (Meranto)

 

4

D235, Jalan Bertam ke Jelawang 

 

Jalan dibuka selorong sahaja

5

 

Jalan Gua Musang-Aring-Kuala Berang (Jalan Felda Aring 2)

 

 

 

 

Oleh:S.M. Amirullah Zainal
oooo
Lencongan Sementara Jalan Gua Musang - Kuala Krai Kini Dibuka
25/12/2007

Satu lencongan baru telah dibina dan dibuka kepada kenderaan ringan bermula 25 Disember 2007 pada jam 10.30 (maklumat dari JKR Gua Musang). Pembinaan lencongan baru ini adalah  ekoran kejadian  tanah runtuh  yang berlaku di Jalan Kuala Krai-Gua Musang sejak 16 Disember 2007 lalu. Bagaimanapun, di atas faktor-faktor keselamatan laluan hanya  dibuka selorong sahaja pada masa ini dan dijangkakan akan dibuka sepenuhnya pada 1 Januari 2008.

Oleh:fazleen
oooo
Jalan Ditutup Akibat Tanah Mendap
24/12/2007
Jalan alternatif dari Kota Bahru ke Gua Musang yang melalui jalan negeri iaitu Jalan Gua Musang-Jelawang-Dabong 29, KM 45 dari Gua Musang (Meranto) telah ditutup kepada semua lalulintas sejak 22 Disember 2007 lalu akibat kejadian tanah mendap.

Berikut adalah beberapa laluan alternatif yang boleh dilalui:

 
1.      Dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) ke Kuantan – FT 003 Kuantan – Kuala Terengganu – Kota Bharu
2.      Dari Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) ke Kuala Kangsar – FT 076 Gerik – FT 004 Jeli
 
Ekoran daripada kejadian itu, satu lencongan baru kini sedang dibuat di KM 55 dari Gua Musang , Jalan Gua Musang – Kuala Krai (FT008) dan ia dijangka siap pada 25 Disember 2007 sebagai laluan alternatif kepada pengguna.
Oleh:fazleen
oooo
Tanah Runtuh
19/12/2007
Laporan terkini sehingga jam 10.00pagi, terdapat kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Persekutuan FT004 Jalan Gerik-Jeli, Seksyen 35.9 dan hasil perkembangan terkini jalan tersebut masih dibuka kepada trafik dan kawalan trafik akan dijalankan dari masa ke semasa oleh pihak konsesi.
Oleh:fazleen
oooo
Banjir Tiada Tanda Surut
19/12/2007

Banjir yang melanda beberapa negeri sejak dua minggu lalu belum menunjukkan tanda-tanda akan surut dengan hampir 40,000 mangsa dijangka terpaksa menyambut ketibaan Aidiladha di pusat-pusat pemindahan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi hari ini mengeluarkan amaran angin kencang timur laut dengan kelajuan 40 hingga 50km sejam dengan ombak setinggi tiga meter yang kini melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, timur Johor, Sarawak, Labuan dan barat Sabah dijangka berterusan sehingga 29 Disember ini.

Oleh:fazleen
oooo
Kedah Negeri Terbaru Banjir
18/12/2007
Kedah menjadi negeri terbaru dilanda banjir selepas Pantai Timur dan Johor, apabila empat daerah iaitu Kubang Pasu, Sik, Padang Terap dan Baling dinaiki air berikutan hujan berterusan lebih 24 jam. Antara kawasan yang teruk terjejas di Padang Terap ialah Tanjung Piring dan Sungai Kap, manakala Nami Lama di Sik.
Oleh:fazleen
oooo
Kejadian Tanah Runtuh
17/12/2007

Kejadian tanah runtuh telah berlaku di Jalan Gua Musang-Kota Bharu di Kilometer 65 kira-kira jam 8.45 pagi pada 16 Disember 2007. Berikutan daripada itu, jalan tersebut telah ditutup kepada semua kenderaan.

Pengguna jalanraya boleh menggunakan jalan alternatif lain yang telah disediakan oleh pihak JKR.

Oleh:Fazleen
oooo
Banjir di Pahang terjejas teruk
14/12/2007

Keadaan banjir di Pahang dilaporkan terjejas teruk dengan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan semakin meningkat kepada 22,143 orang. Peningkatan ini berikutan beberapa daerah di negeri tersebut dinaiki air sejak malam kelmarin.

Beberapa jalan utama juga ditutup kepada kenderaan.(info terkini sila lihat status banjir). Antara laluan yang ditutup adalah lebuhraya Pantai Timur (LPT) antara Temerloh dan Lanchang dan kenderaan yang melalui laluan tersebut terpaksa dilencongkan ke jalan alternatif yang lain. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada berikutan peningkatan paras air.

Oleh:fazleen
oooo
Banjir Semakin Buruk
11/12/2007
Keadaan banjir yang melanda di negeri Johor, Pahang dan Kelantan semakin buruk berikutan hujan lebat yang masih berterusan. Kebanyakan jalan-jalan utama yang dinaiki air melebihi 0.3m telah mula ditutup. Sementara itu, di Pahang dua jalan utama di negeri tersebut telah terputus hubungan akibat dinaiki air. Jalan-jalan yang terlibat adalah jalan masuk ke Perwira Jaya dan Felda Selancar, Rompin dan di Jalan Kuantan-Segamat (FT012). Walaubagaimanapun kerja-kerja pemasangan jambatan panel keluli bermodular sedang giat dijalankan oleh pihak JKR dan dijangka siap sepenuhnya lewat petang 11 Disember 2007.
Oleh:fazleen
oooo
Tiga Negeri Dilanda Banjir
08/12/2007
Tiga negeri di Semenanjung iaitu di Johor, Pahang dan Kelantan dilanda banjir berikutan hujan berterusan sejak tiga hari lalu. Dilaporkan sekurang-kurangnya 14 daerah yang terlibat dan menyebabkan kira-kira 5,500 penduduk terpaksa dipindahkan. JOHOR merupakan negeri paling teruk dilanda banjir dan daerah yang terlibat ialah daerah Mersing, Segamat, Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, Batu Pahat dan Muar. Di PAHANG pula, banjir melanda di tiga daerah Jerantut, Maran dan Rompin. Sementara itu, di KELANTAN,jajahan yang terlibat adalah jajahan Jeli, Gua Musang, dan Tanah Merah. Kebanyakan jalan-jalan utama ditutup berikutan keadaan banjir yang berlaku. Untuk mendapatkan status terkini jalan-jalan yang terlibat sila lihat pada STATUS BANJIR.
Oleh:fazleen
oooo
RAMALAN HUJAN YANG DIKELUARKAN OLEH JMM
08/12/2007
Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) telah mengeluarkan amaran tahap merah dengan meramalkan hujan sederhana dan kadangkala lebat di selatan dan utara Johor serta Pahang. Hujan dijangka berterusan sehingga hari Ahad.Manakala di Kelantan dan Terengganu, pihak JMM mengeluarkan amaran jingga dengan ramalan hujan sederhana dan kadangkala lebat. Kenyataan JMM juga menyebut Johor dan tiga negeri di Pantai Timur akan mengalami tiga hingga empat episod hujan berterusan selama empat hari sepanjang monsun timur laut yang akan berakhir Mac ini.
Oleh:fazleen
oooo
BANJIR MULA MELANDA DI NEGERI JOHOR
07/12/2007

Beberapa daerah di Negeri Johor mula dilanda banjir semenjak 6.12.2007 berikutan hujan lebat berterusan dalam tempoh 48 jam. Antara daerah-daerah yang terlibat ialah Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Batu Pahat dan Johor Bahru. Daerah Segamat dilaporkan mengalami keadaan banjir paling buruk dimana 1005 mangsa banjir terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan.

Walaubagaimanapun kebanyakan jalan-jalan utama masih boleh dilalui. Untuk mengetahui status jalan-jalan yang ditutup, sila lihat pada STATUS BANJIR.(Gambar sekadar hiasan).

Oleh:CSFJ
oooo
BANJIR DI JOHOR BERTAMBAH BAIK
25/01/2007

Laporan daripada Bilik Gerakan Bencana JKR Johor yang menyatakan banyak jalan-jalan yang ditenggelami air pada minggu lepas kini boleh dilalui oleh semua kenderaan. Kerja-kerja penyenggaran kerosakan akibat bencana banjir sedang dilaksanakan.

Di Johor sahaja lebih 5 Jambatan Bailey di pasang bagi menghubungkan jalan/jambatan yang terputus akibat dibawa oleh arus deras. Di antaranya ialah Jambatan Sg. Semberong dan Jambatan Sg Redong. Jalan-jalan yang masih ditutup adalah di daerah Batu Pahat dan mersing (rujuk status banjir untuk senarai jalan yang ditutup). Bilik Gerakan Bencana Ibu Pejabat JKR Malaysia dibuka pada peringkat 1 dan pengoperasian bilik tersebut hanya diuruskan oleh Unit Senggara Jalan. Walaubagaimanapun kakitangan JKR Ibu Pejabat malaysia diminta untuk mengikuti perkembangan semasa menerusi RAKAN atau laman web JKR bagi mengetahui status operasi Bilik Gerakan Bencana.