Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 25 Mac 2025 dan berterusan sehingga Mei 2025. Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2024/25 yang bermula sejak 5 November 2024.
Semasa Fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah. Keadaan ini berpotensi mengakibatkan kejadian ribut petir yang lebih kerap terutamanya pada waktu petang hingga awal malam. Kejadian ribut petir ini boleh membawa kepada kejadian hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang singkat serta boleh mengakibatkan banjir kilat, kerosakan pada struktur yang tidak kukuh dan risiko dahan atau pokok tumbang. Fenomena ini lebih kerap berlaku di kawasan pantai barat Semenanjung, barat Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada dengan aktiviti luar dan sentiasa merujuk kepada laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia bagi maklumat terkini dan sebarang nasihat cuaca. Pastikan juga saluran pengaliran air tidak tersumbat dan sentiasa berada dalam keadaan bersedia.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi Jabatan Meteorologi Malaysia di talian hotline 1-300-22-1638 atau melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia.
Sumber : MET Malaysia