News and Updates
  Wednesday, November 05, 2008
Kerajaan guna tender lebih telus
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan sebahagian besar daripada proses pemerolehan kerajaan akan dilakukan melalui sistem tender terbuka dan tender terhad untuk melancarkan lagi prosesnya sekali gus lebih telus serta mendapat nilai maksimum bagi wang yang dibelanjakan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak, berkata pemerolehan kerajaan untuk kontrak Bumiputera juga akan ditender melalui proses bida yang kompetitif di kalangan usahawan berkenaan.

“Hasrat kita ialah supaya semua kontraktor Bumiputera dapat bersaing dengan lebih sihat serta meningkatkan lagi daya tahan mereka,” katanya menggulung Perbahasan Bajet 2009 di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Bagaimanapun Najib berkata, kerajaan akan tetap menggunakan budi bicara untuk menimbangkan pemerolehan rundingan terus atas pertimbangan tertentu dan pengecualian terbabit akan hanya dibuat di dalam keadaan tertentu saja.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Bank Negara juga akan menyediakan pinjaman mudah RM200 juta bagi melaksanakan skim kredit mikro untuk membantu usahawan.

Beliau berkata, dana tambahan ini akan diselaraskan dan diagihkan melalui saluran sedia ada.

Kerajaan juga menyediakan dana modal pusingan RM100 juta ringgit untuk Program Kewangan Mikro Bandar yang diletakkan di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memandangkan kejayaan program yang sama bagi kawasan luar bandar.

Sejak dilancarkan awal tahun ini, Program Kewangan Mikro Bandar sudah mengeluarkan pembiayaan melebihi RM500,000 kepada hampir 200 peminjam.

Bagi merancakkan lagi pertumbuhan aktiviti sektor swasta, Najib berkata, kerajaan memutuskan menghapuskan duti import bagi simen dan keluaran besi keluli panjang untuk sektor pembinaan, pembuatan serta hartanah.

Pada masa sama, semua Permit Import (AP) bagi keluaran besi keluli panjang juga akan dikecualikan.

Katanya, langkah itu akan dapat menyokong usaha Kerajaan untuk merangsang pertumbuhan sektor pembinaan, di samping menyediakan persekitaran yang kompetitif dalam industri bekalan bahan binaan negara.

“Kerajaan juga membenarkan individu atau entiti asing untuk membeli hartanah komersial bernilai RM500,000 atau lebih, tanpa memerlukan kelulusan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC), dengan syarat hartanah berkenaan adalah untuk kegunaan sendiri,” katanya. -Berita Harian-
 
 
Other News
12 January 2009
Tindakan tatatertib kakitangan awam
12 December 2008
Keberkesanan alat kesan pergerakan tanah dikaji
10 November 2008
43,000 pekerja mahu sertai skim pencen
10 November 2008
Selamat Datang ke Cawangan Kontrak & Ukur Bahan
03 November 2008
Rakyat Mesti Yakin Untuk Tempuh Cabaran Berikutan Krisis Kewangan Dunia
Rantaian
  RAKAN
Intranet Kerja Raya Malaysia
  JKR
Jabatan Kerja Raya Malaysia
  KKR
Kementerian Kerja Raya Malaysia