News and Updates
  Monday, January 12, 2009
Tindakan tatatertib kakitangan awam
Tidak perlu tunggu kes mahkamah selesai

KUALA LUMPUR: Kakitangan awam yang sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah atas pertuduhan jenayah kini boleh dikenakan hukuman tatatertib oleh jabatan masing-masing tanpa perlu menunggu kes berkenaan selesai terlebih dulu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata tindakan tatatertib itu bagaimanapun tidak boleh berasaskan alasan yang sama dengan pertuduhan jenayah yang dihadapi penjawat awam berkenaan di mahkamah walaupun asas kesalahan berkenaan mungkin ada kaitan.

"Prosiding jenayah yang dilakukan terhadap seseorang penjawat awam mungkin mengambil masa yang lama, terutama jika membabitkan proses rayuan dan selagi prosiding mahkamah belum selesai, Pihak Berkuasa Tatatertib tidak dapat mengambil tindakan.


"Pegawai yang terbabit dalam prosiding jenayah di mahkamah boleh dikenakan perintah penahanan kerja oleh Pihak Berkuasa Tatatertib mengikut mengikut Peraturan 44 PU(A) 395/1993 dengan dibayar minimum 50 peratus emolumen bulanan sehingga kes diputuskan mahkamah.

"Dalam keadaan ini, kebanyakan ketua jabatan enggan mengambil sebarang tindakan dan lebih cenderung menunggu keputusan mahkamah. Pekeliling ini bertujuan mengubah amalan terbabit," katanya dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 26 yang diedarkan baru-baru ini.

Pekeliling baru itu menggariskan tindakan tatatertib boleh diambil jika ia berdasarkan alasan yang berlainan daripada pertuduhan jenayah di mahkamah, tidak membangkitkan fakta yang sama dengan prosiding mahkamah tetapi berbangkit daripada kelakuan pegawai berkenaan.

Sehubungan itu, Ismail, menasihatkan ketua jabatan dan Pihak Berkuasa Tatatertib merujuk kepada penasihat undang-undang jabatan, kementerian atau Jabatan Peguam Negara sebelum mengambil tindakan itu bagi memastikan tidak bercanggah dengan apa yang dibicarakan di mahkamah.

Sekiranya tindakan tatatertib memutuskan pegawai kerajaan berkenaan boleh dibuang kerja walaupun kes terhadapnya di mahkamah belum selesai, tindakan sedemikian boleh diambil dan dengan itu mereka tidak lagi menjadi kakitangan kerajaan dan isu mengenainya tidak perlu dipanjangkan.

Sebaliknya, jika tindakan tatatertib memutuskan pegawai berkenaan dikenakan hukuman selain dibuang kerja, jumlah emolumen yang patut diterimanya akan turut terjejas mengikut hukuman, sama ada turun gaji atau turun pangkat.

Antara pelanggaran tatatertib yang boleh disiasat ketua jabatan termasuk yang ada kaitan dengan kes mahkamah dihadapi seseorang penjawat awam tetapi tidak menggunakan alasan yang sama seperti pertuduhan terbabit.

 
 
Other News
12 December 2008
Keberkesanan alat kesan pergerakan tanah dikaji
10 November 2008
43,000 pekerja mahu sertai skim pencen
10 November 2008
Selamat Datang ke Cawangan Kontrak & Ukur Bahan
05 November 2008
Kerajaan guna tender lebih telus
03 November 2008
Rakyat Mesti Yakin Untuk Tempuh Cabaran Berikutan Krisis Kewangan Dunia
Rantaian
  RAKAN
Intranet Kerja Raya Malaysia
  JKR
Jabatan Kerja Raya Malaysia
  KKR
Kementerian Kerja Raya Malaysia