Perutusan Pengarah Kanan CKUB

Anda berada di sini: Laman Utama > Perutusan Pengarah Kanan CKUB



Dato' Abdull Manaf bin Hashim


Assalamualaikum w.t.b dan salam sejahtera.

Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmat-Nya kita dapat bersama ke tahun baru 2008. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada saudarasaudari terhadap kerjasama dan kesepaduan berpasukan antara pegawai dan kakitangan sepanjang pelaksanaan tugas yang diamanahkan.

Anugerah yang diterima sepanjang 2008

Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada warga CKUB kerana telah mengharumkan nama cawangan apabila CKUB memenangi dua (2) anugerah iaitu Laman Web Terbaik 2007 bagi kategori Intranet dan 2 Anugerah Khas rekabentuk dan Sktruktur Laman Utama Terbaik 2007. Kita juga telah mendapat hadiah saguhati bagi Anugerah Inovasi JKR 2007 bagi Pakej Bayaran Interim.

Disamping kita memandang kejayaan ini dan merasa bangga kita tidak boleh terpesona dengan apa yang dicapai. Kita perlu juga merenung kekurangan dan kelemahan kita, mengambil pengajaran daripadanya dan berusaha mengatasinya agar kejayaan kita dapat terus dipertahankan. Kita harus melihat kekurangan dan kekangan yang kita hadapi kini sebagai satu cabaran, dan kita bersatu untuk menyelesaikannya.

Semoga setiap kelemahan yang dibangkitkan dapat diatasi dan tidak berulang lagi. Saya mengambil kesempatan ini untuk membangkitkan beberapa isu berkait rapat dengan integriti dan profesionalisme yang sedikit sebanyaknya telah menjejaskan imej cawangan antaranya ialah isu ketirisan penilaian tender dan kelewatan dalam pelawaan tender, penyediaan dokumen kontrak, surat setujuterima, bayaran interim dan penyelesaian akaun muktamad termasuk perubahan kerja, penyelarasan kos dan tuntutan kontraktor.

Tugas dan Tanggungjawab

Tanggungjawab kita adalah untuk memastikan projek dilaksanakan selaras dengan Dasar Pelaksanaan Kerajaan dan prosedur tender dan kontrak yang ditetapkan, iaitu memenuhi ciri-ciri pertanggungjawat awam (akauntabiliti) dengan kos projek yang optimum dan berpadanan dengan nilai yang diperolehi (value for money) dengan mengikut jadual pelaksanaan yang ditetapkan (QPlan). Saya mensasarkan semua pegawai CKUB yang terlibat dalam pengurusan dan pengawasan projek mahir menggunakan sistem SKALA Workflow.

Akauntabiliti selaku Penjawat Awam

Apabila kita membincangkan isu akauntabiliti, cabaran yang terbesar datang daripada diri kita sendiri, lebih khusus sikap kita apabila menjalankan tugas dan tanggungjawab. Memang apabila sesebuah organisasi seperti JKR telah menjadi besar, perancangan dan kawalan menjadi lebih rumit. Saya berharap agar setiap kakitangan samaada kakitangan professional ataupun kakitangan sokongan memberi perhatian penuh kepada tugas masing-masing dan bergerak sebagai satu pasukan atau satu “team” bagi mencapai kejayaan yang kita inginkan.

Tanggungjawab ini harus laksanakan dengan jujur dan ikhlas bukan sekadar melepas batuk ditangga. Semasa kita bekerja mesti ada akauntabiliti kepada pihak yang diberi kuasa memantau keberkesanan bekerja., akauntabiliti ini bertindak dua hala. Oleh itu, kita seharusnya peka kepada perancangan, pelaksanaan dan kawalan daripada ketua. Seseorang ketua juga harus peka kepada masalah yang dihadapi oleh kakitangan bawahan dalam menjalankan kerja mereka. Dengan akauntabiliti dua hala ini sajalah, persekitaran bekerja sebagai satu pasukan dapat diwujudkan.

Modal Insan

Pengurusan CKUB sentiasa mengambil berat mengenai kakitangan dan sedar bahawa Modal Insan merupakan asset penting bagi sesuatu organisasi. Kakitangan yang kompeten akan dapat memastikan organisasi memberi perkhidmatan terbaik. Pengetahuan merupakan aspek penting dalam membangunkan kompetensi. Staf diberi peluang yang sama untuk mendapat latihan samaada secara on the job, inhouse ataupun external.

Perkhidmatan yang cemerlang, berkualiti dan menepati masa

Sepanjang tahun 2007 dan juga 2008 ini kita telah dan akan dapat pengambilan staf kontrak bagi kumpulan profesional dan sokongan. Pegawai-pegawai ini amat diperlukan untuk menjalankan tugas yang semakin bertambah dari segi peruntukan, bilangan dan pertambahan projek kompleks / mega.

Disamping itu juga perkhidmatan ukur bahan diperlukan untuk pelaksanaan beberapa polisi jabatan untuk mempercepatkan pembayaran (14 hari), perakuan muktamad (6 bulan selepas CPC) dsb. yang bertujuan untuk mempertingkatkan kelancaran pelaksanaan projek khasnya projek RMK9, setiap kakitangan CKUB hendaklah membekalkan diri dengan perasaan ”sense of urgency” dalam melaksanakan tugas.

Budaya tidak bertangguh-tangguh ini harus dijadikan amalan pada masa yang sama memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa cemerlang, berkualiti , menepati masa dan memberikan pulangan sebaik mungkin kepada pelanggan.

Khidmat Nasihat Kos dan Senarai Kuantiti

Khidmat Kos yang reliable dan tepat , Senarai Kuantiti yang berkualiti akan jadi niche bagi CKUB. Selama beberapa tahun kebelakangan ini sedikit sebanyak usaha telah dicurahkan ke arah penubuhannya Bahagian Kos dan Bahagian BQ, alhamdulillah cadangan pengstrukturan semula pada bulan Disember 2007 yang lepas JPA telah meluluskan penubuhan Bahagian-Bahagian tersebut.

Unit ini masih belum mantap lagi dan perlu diperkukuhkan. Selain itu, usaha ilmiah dari segi penyelidikan dan penerbitan patut dipertingkatkan. Kita semua perlu bekerja sebagai satu pasukan dan saya akan terus menyokong teguh pelbagai aktiviti bagi mencapai tujuan ini agar martabat dan imej lebih tinggi pada masa depan.

Penutup

Akhir kata, saya merakam penghargaan, tahniah dan terima kasih kepada semua warga CKUB. Insyaalah CKUB akan menjadi lebih hebat darpada apa yang kita lihat hari ini. Dalam arus yang penuh cabaran ini tentulah kita berhasrat hendak menjadikan tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya yang terisi dengan pelbagai kejayaan agar terangkat maruah dan imej CKUB.

Sekian, wabillahhitaufik walhidayah wassala mualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dato’ Abdull Manaf Hj Hashim
Pengarah Cawangan Kontrak Dan Ukur Bahan