Sejarah CKUB

Anda berada di sini: Laman Utama > Sejarah CKUB

Latar Belakang Penubuhan
Walaupun JKR telah memulakan semula operasinya selepas Perang Dunia Kedua, dalam tahun 1946, Unit Ukur Bahan hanya mula diwujudkan dalam organisasi Jabatan Kerja Raya di bawah Cawangan Arkitek antara tahun 1950 - 1951.

Pengwujudan Unit Ukur Bahan telah didorong oleh keperluan untuk mengadakan Jadual Kadar Harga bagi maksud pengawalan perbelanjaan Kerajaan.Ketika itu, trend kos bangunan turun naik dengan tidak menentu berbanding dengan kos sebelum Perang Dunia Kedua.

Jawatan Ketua Unit
Unit Ukur Bahan telah diketuai oleh En. Day dan dibantu oleh En. Rickettes. Dalam tahun 1953, jawatan ketua unit telah digelar sebagai juruukur bahan kanan atau pegawai kontrak kanan. Jawatan ini kemudiannya, telah disandang oleh En. Rickettes.

Peranan Unit Ukur Bahan bertambah luas dengan timbulnya keperluan untuk menyediakan Senarai Kuantiti dan penilaian perubahan kerja untuk kontrak kerja bangunan. Unit Ukur Bahan juga dipertanggungjawabkan untuk memberi khidmat nasihat kos dan pentadbiran kontrak dari segi hal-hal berkaitan dengan undang-undang dan kewangan di peringkat pra dan pos kontrak.

Dengan perluasan peranan dan fungsi yang dimainkan oleh Unit Ukur Bahan, statusnya dinaikkan kepada status Cawangan dan dikenali sebagai Cawangan Ukur Bahan dalam tahun 1956.

Pertukaran Gelaran Jawatan
Berikutnya, jawatan ketua Cawangan Ukur Bahan digelar sebagai Penolong Pengarah Ukur Bahan. En. Rhoddes adalah Penolong Pengarah Ukur Bahan yang pertama. Dalam tahun 1961, buat pertama kalinya, jawatan ketua Cawangan Ukur Bahan diterajui oleh orang tempatan, iaitu, En. Lawrence Chin. Beliau telah menerajui Cawangan ini sehingga tahun 1969.

Peranan dan Fungsi CUB
Seiring dengan pembangunan negara yang pesat selepas negara mencapai Kemerdekaan, peranan dan fungsi Cawangan Ukur Bahan dalam pelaksanaan projek-projek bertambah luas dan penting kerana terdapat penekanan kepada pentadbiran dan pengurusan tender dan kontrak Kerajaan yang berkesan.

Selaras dengan perluasan peranan dan fungsi, jawatan Ketua Cawangan Ukur bahan telah dinaikkan taraf dan digelar sebagai Pengarah Ukur Bahan dalam tahun 1967. Jawatan Pengarah Ukur Bahan selepas itu, disandang pula oleh Tuan Hj. Mohd.Dan b. Hj. Taha sehingga tahun 1985, apabila beliau bersara. Jawatan ini kemudiannya, diambilalih oleh En. Abd.Rahman b. Abdullah sehingga tahun 1992, apabila beliau dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai Timbalan Pengarah Ketua Kerja Raya II.

Pertukaran CUB ke CKUB
Semasa beliau menerajui Cawangan Ukur Bahan, nama Cawangan telah ditukarkan kepada Cawangan Kontrak & Ukur Bahan dalam tahun 1988, sejajar dengan peranan yang dimainkan olehnya di dalam organisasi JKR. Sejak tahun 1992 sehinggalah 2004, jawatan Pengarah Cawangan Kontrak & Ukur Bahan disandang oleh Dato' Hj. Mohamed b. Gading. Pada Julai 2004, En Ahmad Mansor telah dilantik menerajui Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan selaku Pengarah CKUB setelah Dato' Mohamed b. Gading dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya III.

  • Laman berkaitan
  • 1. Perpustakaan
  • 2. Pengurusan Kualiti
  • 3. Nota Kursus dan Seminar
  • 4. Iktibar
  • 5. Laporan