English

Kementerian Kerja Raya mengeluarkan kenyataan seperti berikut:

Kuala Lumpur, Selasa, 20 Ogos 2013 – Sejak kebelakangan ini, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mendapat maklumat daripada orang awam, kontraktor serta pemain industri binaan dalam dan luar Negara mengenai beberapa kes penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama KKR sebagai subjek dalam aktiviti jenayah penipuan mereka.

Modus Operandi yang digunakan adalah suspek menghubungi mangsa dengan menggunakan telefon atau surat (palsu) yang menawarkan kontrak tertentu samaada kaedah rundingan terus atau tender daripada KKR. Terdapat juga kes,suspek yang menyamar sebagai pegawai KKR meminta supaya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun peribadinya sebagai wang pendahuluan untuk tujuan “membantu” mangsa memproses atau mendapatkan projek atau kontrak daripada KKR ataupun Jabatan Kerja Raya (JKR). Penggunaan kepala surat rasmi KKR yang dipercayai palsu adalah taktik yang dikesan kerap digunakan oleh suspek.

KKR menyarankan orang ramai yang dihubungi oleh pihak tidak bertanggungjawab ini supaya merujuk segera kepada Unit Komunikasi Korporat (UKK) di talian 03-27714613 /4623 atau emel: pro [at] kkr.gov.my untuk mendapatkan pengesahan dan menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya. Elakkan daripada melakukan sebarang transaksi kewangan bagi kes berkenaan jika belum mendapat kepastian daripada KKR.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN KERJA RAYA
20 OGOS 2013

Related Posts