English
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
 
Kepada semua warga Jabatan Kerja Raya Malaysia yang berbangsa Tiong Hua, saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina / Gong Xi Fa Cai.
 
Sama seperti tahun-tahun yang lalu, saya pasti perayaan Tahun Baharu Cina diraikan dengan meriah bersama keluarga, sanak saudara serta jiran tetangga. Tradisi ‘Balik Kampung’ untuk membersihkan rumah dan berkumpul untuk ‘Makan Besar’  menggambarkan komitmen Masyarakat Cina Malaysia mengukuhkan silaturrahim sesama insan melalui prinsip perpaduan dan keterbukaan. 
 
Tahun Baharu Cina melambangkan titik permulaan yang baharu dalam kehidupan orang Cina. Tahun 2015 ini merupakan Tahun Kambing Kayu yang merupakan tanda kelapan (8) dari Zodiak Cina yang terdiri daripada 12 Shio. Angka lapan (8) dalam kebudayaan Cina adalah salah satu angka yang dipercayai dapat memberikan keuntungan serta melambangkan kedamaian dan kemakmuran. 
 
Saya berharap dengan segala yang bersifat positif dan menjurus kepada kebaikan yang datang bersama tahun baharu ini, kita akan berusaha dengan lebih gigih untuk mencapai sasaran jabatan melalui semangat kerja berpasukan yang jitu seperti mana yang telah ditunjukkan semasa bencana banjir baru-baru ini. Saya yakin, warga jabatan mampu menghadapi setiap cabaran yang mendatang bagi menjana perubahan dalam industri pembinaan demi kesejahteraan dan kemakmuran negara dan rakyat Malaysia.
 
Selain daripada meraikan Tahun Baharu Cina, saya percaya ramai warga JKR yang mengambil kesempatan bercuti untuk pulang ke kampung halaman ataupun bercuti bersama keluarga. Sila pastikan pejabat dan rumah dikunci sebaiknya dan jangan lupa memaklumkan kepada balai polis berdekatan di atas ketiadaan anda. Saya juga amat berharap agar mereka yang ingin memulakan perjalanan pulang agar mengambil rehat secukupnya dan berhati-hati apabila membawa kenderaan untuk mengelak dari sebarang perkara yang tidak diingini.
 
Akhir kata, Selamat Tahun Baharu Cina dan semoga sambutan tahun baharu kali ini dilimpahi dengan segala kebaikan dan kegembiraan.
 
Sekian, terima kasih.
 

Dato' Ir. Hj. Annies bin Md Ariff

Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya Malaysia

Related Posts