Inggeris

SALAM PERSARAAN

 
 

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera Warga JKR yang dikasihi,

Semoga Y.Bhg. Dato'/Datuk/Datin/Tuan/Puan dalam keadaan sihat dan dilindungi Tuhan.

Hari ini 30hb. Mac 2014, adalah hari terakhir saya berkhidmat sebagai pegawai Kerajaan dan mulai 31hb. Mac 2014 saya akan mula bersara wajib setelah berkhidmat dengan JKR selama hampir 37 tahun.

Kepada sahabat-sahabat warga Jabatan Kerja Raya yang berkhidmat di ibu pejabat, cawangan-cawangan dan seluruh JKR Negeri dari Perlis hingga ke Sabah serta warga JKR Kader, terima kasih kerana telah berganding bahu bersama-sama memastikan Jabatan sentiasa memberikan perkhidmatan yang berkualiti demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Sesungguhnya penglibatan Y.Bhg. Dato'/Datuk/Datin/Tuan/Puan semua sama ada secara langsung atau tidak, sama ada dari kumpulan Pengurusan dan Profesional atau Kumpulan Pelaksana, semuanya amatlah saya hargai dan sanjungi.

Saya juga berharap agar ikatan kerjasama yang kuat ini akan terus dipererat kepada KPKR yang baru nanti. Saya percaya pegawai yang akan dilantik menggantikan tempat saya kelak merupakan individu yang berdedikasi dan mempunyai pengalaman yang luas untuk meneraju Jabatan ini. 
Saya akan sentiasa berdoa ke hadrat Ilahi moga-moga dengan limpah dan rahmatnya dapatlah Jabatan Kerja Raya Malaysia ini akan terus kekal dan menjadi nadi kepada pembangunan infrastruktur Negara. 

Akhir kata, sebelum saya mengundur diri, saya dan keluarga dengan rasa rendah diri, ingin memohon ampun dan maaf sekiranya sepanjang kita berurusan ada salah dan silap, terlanjur kata dan bicara, apa jua yang menyinggung rasa, yang terpendam di hati dan jiwa nurani, kerana saya merupakan insan biasa, hamba Allah yang diberi tanggungjawab dan amanah. Dan, yang berusaha untuk melaksanakannya.

Kalau ada sumur di ladang
Buleh kita tumpang mandi
Kalau ada umur panjang 
InsyaAllah kita jumpa lagi

Wabillahittaufik wal hidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

DATO' SERI Ir. HJ. MOHD NOOR BIN YAACOB

Related Posts