Date: Selasa, Ogos 15, 2017

Program Persada Minda @ JKR 2017 telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia pada hari ini, 15 Ogos 2017. Turut hadir sama pada majlis perasmian ini ialah YBhg. Dato' Nafisah binti Ahmad, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, pegawai – pegawai kanan Jabatan Kerja Raya, barisan ahli panel forum, para penceramah serta moderator jemputan.

Penganjuran kali ke lapan (8) ini telah diurus setiakan bersama sekali lagi oleh Unit ECKM, Cawangan Pengurusan Aset Bersepadu (CPAB) dan Bahagian Komunikasi Korporat, Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK). Program ini telah menarik minat  seramai 700 orang peserta terdiri daripada warga Jabatan Kerja Raya meliputi Ibu Pejabat, Negeri, Wilayah dan Daerah.

Majlis dimulakan dengan Ucapan Aluan oleh Pengarah CDPK, YBrs. Ir. Mohamad Zulkefly bin Sulaiman dan seterusnya Ucapan Perasmian Persada Minda @ JKR tahun 2017 oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha. Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan JCoP, JPedia dan peminjam buku terbanyak kepada warga JKR yang bertuah dan juga pelancaran buku yang bertajuk “Isu – isu Perundangan Berkaitan Kontrak Binaan” yang ditulis oleh Sr. Amran bin Mohd Majid. YBhg. DS KPKR juga sempat meluangkan masa untuk melawat ke ruang pameran yang disediakan sebelum meninggalkan majlis.

Pada sebelah petangnya, program perkongsian ilmu diteruskan dengan mendengar pengalaman pahit yang dialami oleh En. Ashwad bin Ismail dari ASTRO Awani bertajuk “Detik Cemas Mavi Marmara”. Majlis berakhir pada jam 4.30 petang dan bersambung esok.

Program diteruskan pada hari ke-2, 16 Ogos 2017. Antara program yang akan berlangsung pada sebelah pagi adalah sesi perkongsian ilmu bertajuk “Yayasan Chow Kit (YCK)” yang akan disampaikan oleh Pengasas Yayasan Chow Kit iaitu Dr. Hartini binti Zainudin. Pada jam 11.00 pagi akan disambung dengan sesi bual bicara yang bertajuk “Menelusuri Minda Merdeka” dan antara ahli panel yang dijemput ialah YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, Sejarawan Negara, YBhg. Datin Paduka Shuhaimi binti Baba, Pengarah Filem dan Pn. Norlaili binti Salleh atau lebih dikenali dengan nama pena Melur Jelita, Penulis dan moderator oleh En. Mohammed Shahril bin Sarapudin. Sesi bual bicara ini akan disiarkan secara langsung menerusi portal rasmi JKR di pautan http://jkrstreaming.jkr.gov.my/live/test/playlist.m3u8 (link is external). Seterusnya pada sebelah petang pogram bersambung dengan persembahan istimewa oleh tiga (3) orang srikandi JKR yang bertajuk “Inspirasi Minda Merdeka”. Program diakhiri dengan resensi buku “99 Kata – Kata #QalifModen yang mana telah diangkat sebagai Buku Paling Popular sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017. Program dijangka berakhir jam 5.00 petang.