Date: Jumaat, Januari 13, 2023

Program 2023 JKR & Trimble BIM and IBS Showcase telah diadakan pada 12 Januari 2023 di Dewan Tan Sri Mahfoz, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia melalui kerjasama di antara Trimble Solution Malaysia Sdn Bhd, Cawangan Perancangan Aset Bersepadu dan Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur. Seramai 200 peserta telah mengikuti program ini yang terdiri daripada para pegawai JKR dan pemain industri pembinaan. Program ini turut dihadiri dan disaksikan oleh YBrs. Sr Amran bin Hj. Mohd Majid (Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Sektor Pakar), YBhg. Dato’ Ir. Zulkipli bin Hj. Nasri (Pengarah Kanan Cawangan Perancangan Aset Bersepadu - menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Sektor Infra), YBrs. Ir. Hajjah Atikah binti Zakaria @ Ya (Pengarah Bahagian Pengurusan Projek Kompleks, Cawangan Perancangan Aset Bersepadu), YBrs. Ir. Noreha binti Nordin (Pengarah Khidmat Pakar dan Pengurusan, Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur), YBrs. Ir. Mhd Khair bin Nordin (Pengarah Khidmat Rekabentuk, Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur) dan YBrs. Ir Waznah binti Abdul Aziz (Pengarah Cawangan Kejuruteraan Infrastruktur Pengangkutan).

Program dimulakan dengan ucapan kata aluan daripada YBrs. Sr. Amran bin Hj. Mohd Majid, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar). Sebanyak 8 sesi pembentangan telah disampaikan oleh wakil industri dan pegawai JKR merangkumi topik berkaitan integrasi Sistem Binaan Berindustri atau Industrialised Building System (IBS) dan teknologi baharu muncul khususnya Pembangunan Model Berinformasi atau Building Information Modelling (BIM). Selain berkongsi ilmu pengetahuan, para pembentang juga turut berkongsi pengalaman dalam pelaksanaan projek secara IBS dan BIM serta kajian dan penyelidikan semasa.

Selain sesi pembentangan, turut terdapat reruai yang mempamerkan bahan rujukan dan produk serta teknologi baharu BIM dan IBS yang disediakan oleh pempamer dan Jawatankuasa Penganjur.

Diharapkan program ini dapat meningkatkan tahap pengetahuan, kesedaran dan kesediaan para pegawai JKR serta pemain industri terhadap adaptasi teknologi baharu khususnya dalam bidang IBS dan BIM. Selain itu, program ini dilihat dapat mewujudkan peluang, rangkaian hubungan kerjasama dan kolaborasi di antara semua pihak berkepentingan dalam usaha mempelbagaikan idea potensi integrasi IBS dan BIM di era Revolusi Perindustrian Ke Empat (IR 4.0).