Date: Khamis, Ogos 9, 2018

Hari AKRAB JKR Pahang tahun 2018 bertemakan Keseronokan Bekerja telah berlangsung dengan jayanya pada 2 hingga 3 Ogos 2018 bertempat di KOMTUR, JKR Negeri Pahang.

Hari AKRAB ini diadakan bersempena program Outreach AKRAB JKR yang merupakan kerjasama antara AKRAB JKR Malaysia dan AKRAB JKR Negeri Pahang.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBrs. Tn. Hj. Meor Mohamed Haris bin Meor Hussein, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat dan diteruskan dengan ucapan perasmian oleh YH Dato’ Hj. Othman Bin Nordin, Timbalan Pengarah JKR Negeri Pahang.

Program Outreach AKRAB JKR dianjurkan sekali setahun bertujuan untuk menyebarluas dan mempromosikan kewujudan dan peranan ahli AKRAB serta aktiviti-aktiviti AKRAB kepada warga JKR di peringkat Ibu Pejabat dan juga JKR Negeri. Melalui program Outreach ini, AKRAB JKR Malaysia menjemput semua warga JKR Pahang untuk mengenali dengan lebih dekat lagi ahli AKRAB JKR Pahang khasnya dan AKRAB JKR Malaysia amnya.

Ahli AKRAB telah dilatih dengan teknik-teknik psikologi untuk mendengar, menghulurkan bantuan dan bimbingan kepada rakan sekerja apabila diperlukan. Ahli-ahli AKRAB juga bersedia untuk berkongsi pengalaman dan kemahiran kerja yang berkaitan bagi tujuan peningkatan kompetensi.

Sesungguhnya platform AKRAB ini adalah cerminan kepada komitmen serta sokongan padu terhadap usaha JKR Malaysia mewujudkan modal insan yang cemerlang dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua warga kerja JKR.