Date: Selasa, Januari 15, 2019

Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Kerja Raya telah berlangsung pada 15 Januari 2019 (Selasa) bertempat di Pekarangan Plaza Menara Kerjaraya. Majlis bermula sekitar jam 8.30 pagi dengan dihadiri oleh Pegawai Pengurusan Atasan Jabatan Kerja Raya (JKR) iaitu YBhg. Dato' Ir. Dr. Meor Abdul Aziz bin Hj. Osman (TKPKR Sektor Infra), YBrs. Ir. Kamaluddin bin Haji Abdul Rashid (TKPKR Sektor Pakar), YBrs. Ar. Zairul Azidin bin Badri (TKPKR Sektor Bangunan) serta pengarah-pengarah kanan, pengarah – pengarah cawangan & bahagian, pengarah – pengarah JKR Negeri serta warga kerja JKR yang lain. 

YBhg. Dato’ Sri KPKR memulakan amanat beliau dengan memanjatkan kesyukuran kehadrat ilahi selain mengucapkan setinggi – tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja JKR kerana telah berjaya mengharungi tahun 2018 dengan penuh cemerlang dan jayanya. Komitmen jitu dan niat untuk terus mengekalkan kecemerlangan juga ditagih untuk menakluk tahun 2019 dengan lebih bergaya demi memastikan JKR tetap unggul sebagai agensi pakar dalam bidang teknikal.

Antara intipati ucapan YBhg. Dato’ Sri KPKR :

1. AMANAT YBHG DATUK SERI KSN – Ybhg Datuk Seri KSN telah memberikan beberapa panduan yang diharap dapat membantu warga perkhidmatan awam dalam meneruskan tradisi kejayaan pada tahun 2019. Antaranya;-
 

  1. Pembaharuan yang berterusan yakni tidak bermaksud meninggalkan segala yang lepas, tetapi meneruskan aspirasi bagi memperkemaskan perkhidmatan awam.
     
  2. Do the right thing right the first time iaitu kesalahan atau kesilapan bukanlah satu pilihan dan tugas mesti dilaksanakan dengan betul pada kali pertama dan tidak membuat kesalahan atau kesalahan berulangkali. Budaya kerja yang berintegriti, menepati janji dan masa, serta amanah dalam setiap tindakan adalah faktor kecemerlangan perkhidmatan awam.
     
  3. Memodenisasikan penyampaian perkhidmatan di mana prosidur sedia ada harus diteliti kewajarannya bagi memastikan ianya sentiasa relevan. Media sosial juga harus dimanfaatkan untuk penyampaian yang lebih cepat dan tepat.
     
  4. Perkhidmatan yang mesra rakyat dan harus sentiasa menghulurkan bantuan.
     
  5. Cabaran persekitaran global memerlukan penjawat awam senantiasa bersedia sebagai penggerak utama dalam membantu Kerajaan menghadapi cabaran semasa dengan memastikan tidak berlaku pembaziran sumber. Segala peruntukan perlu dibelanja dengan optimum serta berhemah.
     
  6. Penjawat Awam harus bersatu, ikhlas dan berfikir dengan terbuka untuk melaksanakan perubahan agar perkhidmatan awam menjadi satu institusi yang disegani.


2. MEMPERKASA AP 182 – JKR telah di beri mandat dan tanggungjawab yang lebih besar untuk melaksanakan semua projek kerja.

3. DASAR KERAJAAN – Mengaplikasikan perolehan secara tender terbuka yang dapat membuka peluang sama rata dan adil kepada semua pihak, selain mampu meningkatkan tahap kecekapan pihak berkaitan dalam menawarkan perkhidmatan terbaik. Kabinet juga telah bahawa memutuskan pengeluaran surat sokongan terhadap mana-mana tender adalah dilarang sama-sekali untuk memastikan tadbir urus yang baik dan mengelakkan berlakunya kepincangan dalam keputusan kerajaan.

4. CADANGAN PENAMBAHBAIKAN BAGI KAEDAH PENILAIAN DAN PEMILIHAN PERUNDING DAN PELAKSANAAN PERKHIDMATAN PERUNDING BAGI PROJEK FIZIKAL – Antara dua pengesyoran JKR yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah ialah ;
 

  1. Mewujudkan kriteria wajib lulus di mana perunding hendaklah berdaftar dengan Kementerian Kewangan dan Lembaga Profesional, bebas daripada tindakan tatatertib salah laku profesional di bawah Lembaga Profesional masing-masing dan berprestasi baik bagi melayakkan perunding dinilai ke peringkat selanjutnya.
     
  2. Kaedah perolehan perunding secara Lead Consultant melalui tender terbuka akan digunapakai dengan lebih meluas, di mana Lead Consultant akan melantik sub perunding daripada pelbagai bidang bagi projek berkenaan. Konsep perolehan secara Lead Consultant merupakan kontrak satu titik tanggungan (single point liability). Maka dengan adanya kaedah perolehan yang mengadakan kriteria wajib lulus dan pelantikan Lead Consultant, akan menjana faedah nilai terbaik kepada Kerajaan.
     

5. PRESTASI PELAKSANAAN PROJEK-PROJEK DALAM RANCANGAN MALAYSIA KESEBELAS (RMK-11) – Sehingga 31 Disember  2018 JKR telah menerima peruntukan daripada kementerian pelanggan sebanyak RM16.087 bilion bagi melaksanakan 1,093 projek dalam RMK-11. 

6. PENGIKTIRAFAN DAN KEJAYAAN – JKR telah memperoleh pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara. Antaranya ;

a) Pengiktirafan

i) Malaysia Technology Expo (MTE) 2018 – Dua (2) pingat emas, satu (1) perak dan satu (1) gangsa serta anugerah khas ‘The Most Visitor Friendly Booth’.

ii) JKR Malaysia meraih dua (2) pingat emas dalam Pertandingan iCompEx 18

iii) Pameran 29th International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2018 – Dua (2) pingat emas dan dua (2) perak serta berjaya memenangi Anugerah Khas bagi Kategori Best Green Invention Award menerusi produk A Mobile Leaves Collector & Shredder Complete With Composter (V-Der).

iii) Pasukan Sistem Pengurusan Tenaga Kompleks Ibu Pejabat JKR Malaysia berjaya memenangi Johan National Energy Award (NEA) 2018 Kategori 1 – Energy Efficiency (Energy Management in Large Building) sempena International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference (IGEM) 2018.

b) Kejayaan

i) Pengiktirafan lima bintang (100%) untuk Petunjuk Prestasi Utama (KPI) HRMIS Tahun 2017 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia pada 1 Oktober 2018.

ii) Tiga (3) projek JKR telah mendapat pengiktirafan skor SHASSIC 5 bintang daripada CIDB

iii) Penganjuran Hari Profesion Teknikal Negara JKR 2018 (HPTN JKR 2018) pada 4 Disember 2018 bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya.

iv) 13 orang pegawai JKR diiktiraf sebagai Pegawai Pakar Bidang Khusus (Subject Matter Expert – SME)

v) 7 pegawai JKR telah dinaikkan pangkat dan diletakan dalam penempatan khas melalui Kemajuan Kerjaya Laluan Secara Pantas (Fast Track)

7. PETUNJUK PRESTASI UTAMA (KPI) JABATAN – Enam (6) KPI utama yang berjaya dicapai pada tahun 2017 adalah seperti berikut;

i) Sekurang-kurangnya 60% projek siap mestilah disiapkan secara 3 dalam 1. (Melibatkan Sijil Perakuan Siap Kerja, Lukisan Siap Terbina (as-built drawing) dan juga Sijil Perakuan Muktamad (Statement of Final Account) kepada pelanggan.

  • JKR telah berjaya mencapai sasaran iaitu 68.53% pencapaian serahan secara 3 dalam 1.


ii) KPI Jabatan telah mensasarkan sebanyak 10 projek Jalan dikeluarkan SST sepertimana tarikh dinyatakan di dalam Q-Plan.

  • Pencapaian telah melebihi sasaran iaitu sebanyak dua puluh enam (26) projek Jalan yang telah dikeluarkan SST sepertimana tarikh dinyatakan di dalam Q-Plan.


iii) Projek Menaiktaraf Lebuhraya Pulau Indah yang menjadi KPI 2018 telah berjaya 100% disiapkan sepenuhnya.

iv)  Projek Sekolah Daif telah mencapai kemajuan sebanyak 96.33 % bagi tahun 2018.

v)  KPI Jabatan telah mensasarkan sebanyak 40% Projek IBS menggunakan Komponen Buatan Kilang.

  • JKR telah berjaya mencapai sasaran iaitu 54.84%.


vi)  PAP Versi 2.3 (2018) mensasarkan untuk pembangunan 30 bilangan rekabentuk baru pada tahun 2018. Kesemua 30 rekabentuk ini telah berjaya dibangunkan berakhir 31 Disember 2018. 

8. CABARAN 2019 – Diatas kejayaan menyiapkan projek sekolah daif pada 2018, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyerahkan sebanyak 97 projek baharu dalam Rolling Plan 4 (RP 4) 2019 dibawah RMK-11 di Semenanjung Malaysia dan projek sambungan sekolah daif di Sabah dan Sarawak untuk dilaksanakan oleh JKR.

Selain itu, JKR diberikan tanggungjawab yang besar bagi melaksanakan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) dibawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dengan kos keseluruhan berjumlah RM841.408 juta dibawah Rolling Plan Keempat, Rancangan Malaysia Kesebelas tahun 2019 telah diluluskan untuk dilaksanakan oleh JKR.

9.  SASARAN PETUNJUK PRESTASI UTAMA (KPI) JABATAN 2019

Antara KPI JKR yang perlu dicapai pada tahun 2019 adalah:

i)  95% daripada jumlah keseluruhan projek JKR hendaklah diserahkan pada tarikh sepertimana yang ditetapkan di dalam Q-Plan yang dipinda.

ii)  20% daripada jumlah projek JKR hendaklah menyediakan SST bersekali dengan dokumen kontrak iaitu dengan kaedah 2 dalam 1.

iii)  40% daripada keseluruhan projek IBS JKR hendaklah menggunakan komponen buatan kilang.

iv)  Kesemua projek yang dilaksanakan oleh JKR berdasarkan MyCrest, mempunyai pengurangan pelepasan karbon.

v)  Kesemua bangunan yang di bawah kawal selia JKR mempunyai pengurangan pelepasan karbon (bersamaan dengan 1.6 juta kg CO2).

vi)  2 bangunan yang diselenggara oleh JKR melaksanakan Energy Performance Contract (EPC).

vii) 100% lokasi yang dirawat mempunyai bacaan IRI kurang daripada 2.5m/km bagi pengukuran Pelaksanaan Performance Contract (PBC) di Jalan Persekutuan Zon Selatan (Melaka, Johor dan Negeri Sembilan)

10.  PENGGUNAAN TEKNOLOGI BIM – Bagi memudahkan perlaksanaan BIM di JKR, kerjasama telah dijalin dengan CIDB melalui program CITP untuk membangunkan komponen dan data ruang fasiliti projek hospital. Antara projek-projek menggunakan kaedah BIM adalah pejabat SPRM Selangor, Klinik Kesihatan 5, Maran Pahang, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Hospital Parit Buntar Perak. Selain itu, Pre-Approve Plan (PAP) telah digunakan untuk JKR mempercepatkan pelaksanaan projek.

11.  INTEGRITI – Kerajaan Pakatan Harapan telah mewujudkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC). Selain itu, Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 akan dilancarkan dalam masa terdekat bagi menggantikan Pelan Integriti Nasional (PIN).

12.  HARAPAN – Seiring dengan peredaran waktu, media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter, warga jabatan perlu mengambil peluang menjelaskan isu-isu yang timbul di laman sosial dalam skop kerja masing-masing dan aktif mempromosi sebarang aktiviti dan program jabatan di semua peringkat samada ibu pejabat, negeri dan daerah.

Di akhir amanat YBhg. Dato’ Sri KPKR, beliau menyeru semua lapisan warga JKR untuk mempertingkatkan keazaman dan semangat bagi mengharungi cabaran 2019 untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang daripada tahun-tahun sebelumnya.

Majlis bersurai sekitar 9.30 pagi.