Date: Isnin, Julai 25, 2016

PROJEK LESTARI JKR : IBU PEJABAT LEMBAGA PELABUHAN JOHOR (LPJ), PASIR GUDANG JOHOR 

Pengenalan Penarafan Hijau (pH JKR)

Penarafan Hijau (pH JKR) telah diperkenalkan oleh Cawangan Alam Sekitar dan Kecekapan Tenaga (CASKT) Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dengan termeterainya Green Mission pertama JKR pada tahun 2002. Pada tahun yang sama, JKR telah diberikan pensijilan MS ISO 14001:1997. Bertitik tolak dari itu, JKR telah banyak mengambil langkah-langkah ke arah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Lanjutan dari itu, pembangunan lestari telah mula diterapkan di dalam projek-projek yang dilaksanakan oleh JKR.

Skim Penarafan Hijau JKR (pH JKR) adalah satu alat yang dapat digunakan oleh pelaksana hanya bagi projek kerajaan untuk mengukur tahap kelestarian sesebuah pembangunan. Ia telah dibangun berasaskan tahap pengoperasian pembangunan kerajaan sedia ada dan juga keperluan yang telah ditetapkan ke atas projek-projek kerajaan. Oleh itu, skim ini adalah lebih mesra digunapakai untuk menilai tahap pencapaian ‘Hijau’ sesebuah pembangunan kerajaan.

Program-program seperti audit dan penjimatan tenaga, taklimat kesedaran kepada pengguna bangunan, penyediaan garis panduan yang dapat membantu perekabentuk adalah di antara inisiatif pihak JKR ke arah pembangunan lestari. Projek-projek juga dilaksana dengan mengambilkira penerapan rekabentuk cekap tenaga di dalam bangunan baru, penggunaan Sistem Bangunan Berindustri (IBS), penggunaan Sistem Penuaian Air Hujan (Rain Water Harvesting) dan lain-lain lagi.

Perdana Menteri Malaysia, telah mengumumkan komitmen Malaysia dalam Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2009 (COP 15) di Copenhagen pada 17 Disember 2009, bahawa negara akan mengurangkan pelepasan karbon atau gas rumah hijau sehingga 40% daripada kadar pelepasan 2005 menjelang 2020.

 

 

 

 

 

Latar Belakang Projek Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ)

Bagi menyahut hasrat tersebut, Projek Pembinaan Bangunan Ibu Pejabat Lembaga Pelabuhan Johor, di Pasir Gudang, Johor Darul Takzim merupakan salah satu daripada 20 projek yang tersenarai sebagai projek KPI Menteri Kerja Raya Malaysia bagi “Infrastructure Projects With Significant Impact To The Environment Subscribing To Green Rating” tahun 2014.  

Perekabentuk telah menerapkan banyak elemen hijau di dalam rekabentuk projek. Oleh itu, pasukan projek telah meminta pasukan pH JKR untuk menilai tahap kelestarian bangunan ini berdasarkan manual pH JKR kategori bangunan baru bukan kediaman (KB1).

Objektif konsep asas bangunan ini adalah sebenarnya cuba menggetengahkan imej korporat Lembaga Pelabuhan Johor yang sememangnya tidak lari daripada rupa sebuah kapal besar berlabuh. Kita boleh melihat dari jauh dengan jelas profil vertical fin di bahagian puncak menyamai bentuk hadapan sebuah kapal besar.

Apa yang unik boleh kami kongsikan bersama tentang bangunan ini adalah rekabentuk bangunannya telah dikaji secara  simulasi dengan mengambil kira kedudukan serta impak orientasi bangunan mengikut laluan matahari. Perkara ini dapat meminimumkan penggunaan tenaga bangunan, kesan silauan terhadap warga kerja, densiti cahaya masuk yang selesa dan mengurangkan impak thermal heat khususnya. Ia juga turut dibantu dengan penggunaan perimeter gelas bangunan jenis Eco Glass yang boleh menapis haba dan sinaran UV secara optimum.

Di samping itu juga, bangunan ini turut menuai pencahayaan semulajadi melalui sistem light shelf ke dalam ruang pejabat untuk mewujudkan suasana semulajadi. Aplikasi pengudaraan semulajadi sebanyak 85% di laluan korridor turut memberikan impak guna tenaga yang minimum kepada pihak LPJ.

Penggunaan air hujan (RWH) turut direkabentuk bagi membantu sistem air di tandas aras tanah dan siraman di kawasan lanskap bangunan secara tekanan graviti. Teknologi semasa seperti sensor lampu automatik di ruang pejabat atau bilik telah dipasang bagi mengawal tenaga daripada terbiar atau membazir.

Untuk sistem lanskap bangunan pula, kaedah penanaman secara horizontal dan roof garden diperkenalkan untuk kesan estetik dan terapi kepada penghuni bangunan. Spesis pokok yang bersifat mudah dijaga dan kurang penyelenggaran dipilih untuk perkara ini. Bagi menaikkan lagi nilai sejarah pelabuhan di Johor, pokok khas seperti bunga cengkih, asam jawa, bunga lawang, buah keras, kayu manis dan asam gelugor diwujudkan di sekitar bangunan sebagai medan rujukan.

Kos projek pembinaan bangunan ini adalah RM49.23 juta dan dilaksanakan secara konvensional dalaman JKR manakala rekabentuk IBS adalah di bawah skop kerja kontraktor utama. Proses perancangan awal projek telah dikendalikan oleh Bahagian Pengurusan Projek 2, Cawangan Kerja Bangunan Am 2, Ibu pejabat JKR Malaysia dan telah diserahkan kepada pihak JKR Johor untuk menyelia kerja pembinaan. Skop projek adalah pembinaan satu (1) Blok Menara Pejabat 11 Tingkat, satu (1) Blok Parkir Bertingkat (bersambung dengan Blok Menara Pejabat), ID Works, loose furniture, dan sistem penuaian air hujan. Kontraktor utama projek ini adalah Kelisa Murni Sdn. Bhd. dan beberapa sub-kontraktor yang dinamakan (NSC) telah dilantik untuk menyiapkan projek ini dengan jayanya mengikut skop kerja dan kehendak pelanggan.    

Matlamat utama pembinaan bangunan ini adalah untuk mendokong objektif LPJ iaitu sebagai badan kawal selia untuk memastikan pengendali-pengendali pelabuhan berlesen memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan kepada semua syarikat perkapalan mengikut piawaian perkhidmatan yang bertaraf antarabangsa.

 

MANFAAT KEPADA PENGGUNA/PENGHUNI BANGUNAN LESTARI HIJAU;

v _ Mengurangkan penggunaan bahan mentah

v _ Mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil

v _ Menghasilkan tenaga yang boleh diperbaharui

v _ Mengurangkan penggunaan air

v _ Mengurangkan pelepasan karbon

v _ Mengurangkan kesan gas rumah hijau

v _ Mengurangkan pencemaran air

v _ Mengurangkan sisa pepejal

v _ Memulihara habitat

v _ Mewujudkan habitat

v _ Mengurangkan jejak karbon

Tahniah dan syabas diucapkan kepada pihak Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) kerana telah berjaya menerima sijil penarafan hijau pH JKR ini. Diharapkan ia akan menjadi galakan serta penanda aras kemajuan pembangunan lestari di kawasan Pasir Gudang Johor Bahru khususnya di samping memberi impak besar kepada masyarakat setempat dan dunia amnya.

Tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada HOPT, semua HODT, SO Projek dan pasukan projek JKR yang telah berjaya melaksanakan projek ini dengan jayanya.    

 

Disediakan Oleh;

Bahagian Pengurusan Projek 2

Cawangan Kerja Bangunan Am 2

Ibu Pejabat JKR Malaysia

Menara PJD Kuala Lumpur