Date: Selasa, Jun 6, 2023

Audit Pensijilan Semula Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB) oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. telah dilaksanakan di Ibu Pejabat JKR Malaysia yang melibatkan keempat-empat sistem ISO berikut:

  1. Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) ISO 9001:2015
  2. Sistem Pengurusan Alam Sekitar (SPAS) ISO 14001:2015
  3. Sistem Pengurusan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan ISO 45001:2018
  4. Sistem Pengurusan Tenaga (SPT) ISO 50001:2018

 

Audit Pensijilan Semula ini telah bermula pada 22 – 26 Mei 2023 bagi Sistem Pengurusan Tenaga (SPT), manakala pada 29 Mei – 2 Jun 2023 bagi tiga (3) sistem ISO yang lain. Mesyuarat Pembukaan Audit Pensijilan Semula Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB) JKR Malaysia oleh SIRIM QAS International yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), YBhg. Sr Amran bin Haji Mohd. Majid telah berlangsung dengan jayanya pada hari jumaat, 2 Jun 2023 jam 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat Berlian, Menara Ibu Pejabat JKR.

Mesyuarat Penutup Audit Pensijilan Semula Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB) JKR Malaysia juga telah diadakan pada hari yang sama pada jam 3.30 petang. Secara keseluruhannya tiada NCR ditemui namun terdapat 31 OFI bagi semua sistem untuk peluang penambahbaikan.

Jabatan Kerja Raya merakamkan jutaan terima kasih atas komitmen yang diberikan oleh JKR Cawangan, JKR Negeri, Pasukan Projek dan semua warga JKR atas pencapaian ini. JKR Malaysia telah disyorkan oleh pihak SIRIM untuk diperbaharui pensijilan bagi keempat-empat sistem ISO. Syabas dan tahniah diucapkan.

Jabatan Kerja Raya berharap semua warga dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam melaksanakan projek-projek dan perkhidmatan kejuruteraan yang diamanahkan bagi memenuhi objektif kualiti serta kepuasan pihak pelanggan pada masa akan datang.