Date: Isnin, Oktober 7, 2024

Hari Bertemu Pelanggan JKR WP Labuan 2024 telah diadakan pada 5 Oktober 2024 bertempat di pejabat JKR Wilayah Persekutuan (WP) Labuan, Jalan Kampung Jawa. Majlis telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Ir. Ts. Hj. Masri Bin Baharuddin, Pengarah Cawangan Dasar Dan Pengurusan Korporat, JKR Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Hari Profesion Teknikal Negara 2024. Turut hadir pada majlis perasmian ini adalah YBrs. Tuan Simsudin Bin Sidek, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, serta wakil-wakil dari Kementerian Kerja Raya,wakil dari JKR Malaysia, Ketua-Ketua Jabatan, wakil-wakil Agensi, kontraktor-kontraktor dan pemimpin Masyarakat.

Hari Bertemu Pelanggan JKR WP Labuan 2024 diadakan bertujuan untuk membina hubungan dua hala yang kukuh dengan masyarakat setempat. Tema tahun ini, "Pandu Cermat, Tiba Selamat," dipilih bertujuan bagi meningkatkan kesedaran pengguna tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya, sekaligus mengurangkan kadar kemalangan di WP Labuan.

Antara taklimat yang diadakan adalah taklimat pengenalan aplikasi MyJalan daripada Kementerian Kerja Raya (KKR). MyJalan merupakan aplikasi aduan yang dibangunkan oleh KKR berkonsepkan ‘one stop centre’ yang mengamalkan ‘No Wrong Door Policy’. Selain itu, JKR WP Labuan turut mempromosikan sambutan Hari Profesion Teknikal Negara, HPTN yang disambut pada Sabtu Pertama bulan Disember setiap tahun. Ia bertujuan untuk menghargai sumbangan profesion teknikal dalam pelbagai bidang yang menyokong permodenan dan pembangunan negara.

Turut diadakan adalah taklimat mengenai keselamatan jalan raya serta demonstrasi Pro Ride daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), taklimat bahan-bahan daripada pembekal terkemuka di Malaysia, pameran daripada Ek Hitec Corporation Sdn. Bhd.,Es Electronic Sdn Bhd,I Eco Lighting Solution Sdn Bhd,Lintasan Resources Sdn Bhd,NS Bluescope Lysaght Sabah Sdn Bhd,QLux Group Sdn. Bhd.,Smart Paint (M) Sdn Bhd. Serta booth-booth daripada pihak CIMB Bank, Bank Rakyat, IWK Labuan, MAQIS serta lain-lain agensi,cabutan bertuah, aktiviti mewarna dan juga jualan. JKR WP Labuan berharap program ini dapat mendekatkan masyarakat sekitar serta rakan strategik seperti Perbadanan Labuan, PDRM, JPJ, Bomba Penyelamat dan pelbagai agensi agar seluruh pengguna jalan raya untuk bersama-sama meningkatkan pengurusan keselamatan jalan raya yang lebih berdaya huni.