Date: Jumaat, Julai 14, 2023

Majlis Penyerahan projek siap kepada pihak pelanggan bagi Projek Membina Semula Masjid Sungai Puyu, Butterworth, Pulau Pinang telah diadakan pada 23 Jun 2023 (Jumaat) yang telah disempurnakan YBrs. Tuan Ir. Ahmad Nadzri Bin Abdul Majid, Pengarah JKR Pulau Pinang kepada Yang Berhormat Dato’ Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Bin Abd Rahman, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1 yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (YDP MAINPP). Pada hari tersebut juga telah dibuat perisytiharaan perlaksanaan solat jumaat dan fardhu yang telah dilaksanakan oleh YDP MAINPP.

Majlis tersebut telah diadakan di ruang solat utama masjid dan telah dimulakan pada jam 11.30 pagi di mana dokumen penyerahan ditandatangani oleh Jurutera Daerah JKR SPU selaku Pegawai Penguasa, YBrs. Ir. Mohd Zuwairi bin Samsuddin mewakili Jabatan Kerja Raya dan YBrs. Puan Noor Fairizan Binti Jaafar, Timbalan Pengarah, Unit Penyelarasan Perlaksanan, Jabatan Perdana Menteri (ICU Pulau Pinang) yang juga bertindak sebagai Pelanggan bagi projek ini. Majlis kemudiannya disusuli dengan penyerahan replika kunci yang dimulakan oleh YBrs. Tuan Ir. Ahmad Nadzri Bin Abdul Majid kepada ICU Pulau Pinang yang kemudiannya diserahkan kepada YDP MAINPP dan seterusnya kepada pengguna akhir iaitu Pengerusi Masjid Sungai Puyu. Program penyerahan ini juga turut dihadiri oleh pegawai-pegawai daripada JKR Pulau Pinang, pegawai – pegawai dari ICU Pulau Pinang, pegawai – pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Wakil-Wakil Pegawai Penguasa, perunding – perunding, kontraktor utama dan subkontrak - subkontraktor dinamakan serta majlis juga dimeriahkan dengan kehadiran ahli jawatankuasa masjid dan anak-anak kariah masjid tersebut.

Kaedah pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Perunding dengan Bahagian Bangunan, JKR Pulau Pinang dilantik selaku Head of Project Team (HOPT) dan projek diselia oleh pasukan projek, JKR Seberang Perai Utara selaku pejabat Pegawai Penguasa. Pasukan perekabentuk Head of Design Team (HODT) pula terdiri daripada Bahagian Senibina JKRPP, Bahagian Kontrak dan Ukur Bahan JKRPP, Ketua Jurutera Elektrik Negeri JKRPP, Ketua Jurutera Mekanikal Negeri JKRPP dan seterusnya direkabentuk oleh Perunding – Perunding dalam setiap disiplin yang diperlukan bagi menyiapkan masjid ini.

Kontrak bagi projek ini telah telah ditawarkan dan dilaksanakan oleh kontraktor tempatan iaitu I&R Land Sdn Bhd iaitu bermula pada 30 Mac 2021 dan telah berjaya disiapkan pada 22 Jun 2023 dan beberapa kejayaan telah berjaya ditempa setelah siapnya projek ini walaupun mendepani dengan pandemik Covid-19 yang melanda ketika itu. Antara kejayaan yang telah ditempa adalah seperti berikut

 

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) dikeluarkan 36 hari lebih awal daripada tarikh siap semasa
  2. Lukisan Siap Bina telah diserahkan pada tarikh CPC.
  3. Projek telah diserahkan kepada Pelanggan sehari selepas tarikh CPC. Solat Fardhu Jumaat juga telah dilaksanakan dalam dewan solat masjid usai Majlis Penyerahan diadakan.
  4. Tiada kemalangan direkodkan di sepanjang tempoh pembinaan.

 

Skop utama projek ini melibatkan kerja-kerja meroboh bangunan masjid sediada, pembinaan masjid terdiri dewan solat utama dan dewan solat tingkat 1 yang boleh memuatkan sehingga 1268 orang jemaah, sebuah minaret dengan ketinggian 100’, bilik mesyuarat, bilik imam, ruang legar, bilik pengurusan jenazah, bilik penyediaan makanan dan juga stor.

Tahniah dan Syabas diucapkan kepada semua pasukan projek sama ada di peringkat JKR, Pelanggan, perunding dan kontraktor ini termasuk juga dengan pemegang taruh berkaitan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung  dalam memberikan komitmen yang sangat tinggi  sehingga berjaya merealisasikan projek ini serta dapat dimanfaatkan kepada kariah Masjid Sungai Puyu khususnya dan meningkatkan syiar Islam di kawasan setempat. Setinggi- tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan pelaksanaan Projek Membina Semula Masjid Sungai Puyu, Butterworth, Pulau Pinang ini.