Date: Isnin, Ogos 20, 2018

KUALA LUMPUR: International Research Innovation, Invention Solution Exposition (IRIISE 2018) yang julung kali diadakan di Universiti Malaya (UM) pada 14-16 hb Ogos 2018 ini melibatkan hampir keseluruhan lapisan penggerak institusi pendidikan dalam melahirkan generasi berinovasi sekaligus dapat memacu pembangunan negara dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih maju dan mapan. Penganjuran konsep baru ini dilihat dapat mengabungkan idea-idea kreatif dari segenap aspek walaupun mempunyai latar belakang, umur, pengalaman dan cara yang berbeza tapi berdasarkan satu tujuan iaitu kearah Malaysia maju. Sebanyak 150 produk penyelidikan dan inovasi telah dipamerkan dalam pertandingan ini.

Sebagai pengenalan, Universiti Malaya merupakan universiti pertama yang ditubuhkan di Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) pada 8 oktober 1949. Matlamat awal dalam menyediakan pendidikan tinggi kepada penduduk Tanah Melayu telah berjaya melahirkan pemimpin dan intelektual dalam pelbagai bidang. Penganjuran IRIISE 2018 ini juga digabungkan bersama Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Universiti Awam Kali ke-14 yang seterusnya dipanggil Expo on University Research Invention, Creation and Innovation 2018 (EUREKA 2018).

Objektif utama penganjuran ini adalah:

  1. Menggalakkan dan mencungkil cetusan idea baharu dalam rekabentuk dan inovasi;
  2. Menerapkan kreativiti di dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan;
  3. Menggalakkan persaingan sihat menerusi inovasi, sains dan teknologi;
  4. Menjadi platform untuk berkongsi amalan terbaik dan berkesan yang boleh diambil dalam pengurusan dan pentadbiran;
  5.  Sebagai pemangkin kepada generasi baru dalam penyelidikan, inovasi dan daya cipta unggul; dan
  6. Meningkatkan keterlihatan dan penjenamaan Universiti Malaya sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pendidikan tinggi yang berkualiti sesuai dengan imej universiti penyelidikan yang dipegang.

 

Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil bahagian dalam pameran ini yang diketuai oleh Ir.Mohamad Adzizulrohim Bin Abd Malek serta dibantu oleh Prof. Azlan Shah Ali dan Dr. Rizal Baharum dari UM, telah mempamerkan produk penyelidikan dan inovasi bertajuk ‘Asset Replacement Cost Decision Making Model (ARCDM) For Government Buildings’. Model ini berfungsi sebagai panduan dalam membuat keputusan untuk menentukan samada aset bangunan kerajaaan tersebut perlu dinaiktaraf atau dirobohkan dengan mengambilkira prinsip perolehan kerajaan iaitu ‘Value for Money’ dan seterusnya dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan.  Inovasi ini adalah hasil daripada objektif National Asset and Facility Management 2009 (NAFAM 2009) yang memberi perhatian kepada isu ‘Life Cycle Costing’ dalam pengurusan asset kerajaan. Model ini menggunakan aplikasi ‘Total Asset Management’ yang mengambilkira ‘Faktor Manusia’, ‘Faktor Teknikal’ dan ‘Faktor Organisasi’ dalam membuat keputusan. Secara ringkasnya, model ini dihasilkan daripada aplikasi gabungan dari Partial Least Square-Structural Equation Model (PLS-SEM) Analysis dan Engineering Economics Analysis. Pelbagai kategori anugerah telah dipertandingkan sepanjang pameran ini dan hasilnya, inovasi ini telah dianugerahkan Anugerah Pingat Emas IRIISE 2018.

Ketika Malaysia Baharu melalui pelbagai proses transformasi dalam dunia pengurusan aset, JKR terus melipatgandakan usahanya bagi menjayakan visi untuk menjadi sebuah agensi teknikal yang ternama di peringkat dalam dan luar negara. Sejajar dengan itu, inovasi ini diharapkan dapat menambahbaik polisi dan garis panduan sediada iaitu DPAK 2009 (Dasar Pengurusan Aset Kerajaan) dan MPAM 2009 (Dasar Pengurusan Aset Menyeluruh) seterusnya  impian untuk menjadi negara maju tercapai.

 

Disediakan:

Ir. Mohamad Adzizulrohim Bin Abd Malek
Jurutera Mekanikal Kanan
(Ketua Penolong Setiausaha Teknikal)
Bahagian Perolehan Kerajaan
Kementerian Kewangan

17 hb Ogos 2018

Sumber : IRIISE 2018