Date: Isnin, Disember 12, 2016
KUALA LUMPUR - Raja Berjiwa Rakyat, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah menamatkan penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong hari ini dalam upacara penuh simbolik.
Tuanku Abdul Halim, 89, yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April 2012, dan Tuanku Hajah Haminah berangkat meninggalkan Istana Negara dalam acara ringkas namun penuh istiadat diraja pada kira-kira pukul 8.20 pagi.
Tuanku Abdul Halim yang berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong dikenali sebagai 'muskat' berangkat meninggalkan Istana Negara dengan menaiki kenderaan rasmi Yang di-Pertuan Agong diiringi tujuh pengiring bermotosikal serta 20 pengiring am diraja daripada Kor Armor Diraja.
Ketika berangkat meninggalkan Istana Negara, baginda melintasi pasukan kawalan kehormat darjat daripada Unit I Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang diketuai Mejar Mohamed Zaid Mohamed Tazali, yang turut mempersembahkan 'Hormat Diraja'.
Serentak itu, lagu Negaraku dimainkan mengiringi keberangkatan pasangan diraja ke Dataran Parlimen bagi upacara rasmi keberangkatan pulang baginda berdua ke Kedah.
Ketibaan Seri Paduka berdua di Dataran Parlimen diiringi tiupan nafiri oleh 14 anggota daripada Pasukan Istiadat Diraja Tentera Darat dan disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor 
(Petikan dari Sinar Harian 12 Disember 2016)
Dato' Sri Ir Dr Roslan Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia turut berada di Dataran Parlimen bersama ketua-ketua setiausaha dan ketua-ketua jabatan bagi mengiringi keberangkatan Duli Tuanku.
 
 
 
Semasa kenderaan yang membawa baginda berdua melalui Jalan Parlimen, rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam dan kakitangan swasta berbaris di kiri dan kanan jalan mengucapkan selamat jalan kepada Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah.
DAULAT TUANKU