Date: Khamis, Ogos 10, 2017

Karnival Sukan JKR SeMalaysia 2017 kali ke-4 telah melabuhkan tirainya pada 6 Ogos 2017 yang lalu. Karnival sukan yang merupakan acara dwi tahunan Jabatan berlangsung selama tiga (3) hari bermula pada 4 hingga 6 Ogos 2017 bertempat di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Majlis perasmian karnival sukan yang berlangsung di Kompleks Sukan Tengku Mohammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia dan diiringi oleh Yang Berhormat Datuk Rosnah Binti Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Yang Berbahagia Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya, Yang Berhormat Dato’ Haji Wan Nawawi Bin Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Terengganu serta pegawai – pegawai kanan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya.

Kejohanan sukan kali ini melibatkan 25 bilangan kontinjen dengan seramai 1620 orang peserta terdiri daripada warga Jabatan Kerja Raya meliputi Ibu Pejabat, Negeri, Wilayah dan Daerah. Sebanyak sembilan (9) acara yang dipertandingkan iaitu bola sepak, bola tampar, sepak takraw, ping pong, badminton, bola jaring, tenpin boling, boling padang dan golf.

Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada JKR Negeri Terengganu sebagai tuan rumah penganjuran kali ini, semua ahli jawatankuasa penganjur, peserta yang mengambil bahagian dan semua pihak yang telah memberikan sepenuh komitmen bagi menjayakan Karnival Sukan JKR SeMalaysia 2017 ini. Semoga berjumpa lagi pada tahun 2019.