Date: Jumaat, March 5, 2021

Majlis Penyerahan Projek Kerja-Kerja Menaiktaraf, Menyelenggara, Membaiki Infrastruktur Dan Prasarana Serta Lain-Lain Kerja Yang Berkaitan Di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis telah berlangsung dengan jayanya pada 2hb. Mac 2021 (Selasa) bertempat di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis.

JKR Negeri Perlis telah diberikan tanggungjawab untuk membuat perancangan, perolehan dan menyelia projek bagi memastikan kualiti projek ini berada pada tahap yang tertinggi. Perolehan projek ini telah dilaksanakan secara tender terbuka dan kontraktor yang berjaya adalah MSSH Utama Corporation Sdn. Bhd.

Majlis penyerahan ini telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Syed Zubir Bin Syed Husin, Pengarah JKR Negeri Perlis selaku Pegawai Penguasa kepada YBrs. Pn. Julaila Bt. Yahya, Pengetua Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra. Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri iaitu YBrs. Tuan Naharuddeen B. Othman, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri (ICU) Perlis, pihak sekolah, pegawai JKR Perlis dan Kontraktor Utama, MSSH Utama Corporation Sdn. Bhd. Majlis penyerahan ini diadakan secara ringkas dengan mematuhi SOP selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Projek ini dilaksanakan secara Konvensional Dalaman dengan siling projek sebanyak RM 2,129,954.00. Antara skop projek yang telah siap dilaksanakan adalah seperti berikut :

1. Menganti bumbung asbestos ke bumbung jenis metal deck dewan makan

2. Selenggara kemudahan asas sekolah

3. Selenggara tangki septik dan ganti saluran manhole asrama puteri

4. Pembaikan pagar sekolah dan asrama puteri (g.i fencing dan tembok konkrit)

5. Cat sekolah dan asrama

6. Selenggara penghawa dingin

7. Naiktaraf gelanggang tenis kepada gelanggang serbaguna berpagar

8. Selenggara tandas asrama putera dan puteri

9. Tukar longkang jenis v kepada u di dewan makan ke sungai berhampiran

10. Kerja-kerja pendawaian semula aras bilik guru

Tempoh penyiapan kontrak asal projek ini adalah selama 12 bulan iaitu bermula 24 Oktober 2019 sehingga 21 Oktober 2020 dengan kos kontrak sebanyak RM1,969,000.00. Walau bagaimana pun, kontrak ini telah diluluskan lanjutan masa sehingga 12 Februari 2021 disebabkan  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada bulan Mac 2020.

Matlamat utama pembinaan projek ini adalah untuk menyediakan kemudahan pengajaran dengan persekitaran yang kondusif agar dapat meningkatkan produktiviti dan inovasi guru-guru serta membangunkan modal insan yang holistik.

Projek ini bukan sahaja menepati KPI JKR Malaysia 3 dalam 1 malahan telah memberi nilai tambahan 6 dalam1 merangkumi perkara-perkara berikut:

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC)
  2. Penyata Akaun Muktamad (SOFA)
  3. Lukisan Siap Bina
  4. Penjimatan Kos Projek RM77,600.00
  5. Zero Loss Time Due To Injury
  6. Zero Major Defect

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah JKR Negeri Perlis selaku Pegawai Penguasa Projek, Wakil Pegawai Penguasa, Pengurus Program (CFSB),  serta Kontraktor Utama  seterusnya semua pihak yang telah berusaha gigih dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam penyiapan projek ini.