Pada 4 November 2024 (Isnin) telah berlangsung satu Kunjungan Hormat Delegasi Kementerian Perindustrian Republik Indonesia seramai 18 orang yang diketuai oleh Agust Juvenly Purba ke Ibu Pejabat JKR Malaysia.
Kunjungan delegasi disambut oleh YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia dan YBrs. Ir. Haji Zulkifli bin Abdul Rashad, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar). Turut hadir ialah YBrs. Ir. Noreha binti Nordin, Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Awam Dan Struktur; YBrs. Ir. Dr. Sherliza binti Zaini Sooria, Pengarah Kanan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE); YBhg. Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) serta pegawai kanan Kementerian Kerja Raya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Malaysia.
Majlis dimulakan dengan sesi bergambar dan penyerahan cenderahati oleh Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia. Majlis diteruskan dengan sesi taklimat dan perkongsian di Bilik Mesyuarat Perdana, Aras 35, Menara Kerja Raya oleh wakil Kementerian Perindustrian Republik Indonesia bertajuk Asphalt Buton dan diteruskan dengan perbincangan yang produktif serta meningkatkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
Kunjungan delegasi dari Republik Indonesia ini bertujuan untuk memudahkan perkongsian pengetahuan dan pengalaman serta memupuk kerjasama antara Kementerian Perindustrian Republik Indonesia dengan JKR Malaysia. Sesi dialog dua hala ini ternyata memberi inspirasi kepada kedua-dua belah pihak untuk berkongsi pengalaman bersama khususnya melibatkan pembangunan infrastruktur jalan.
Secara keseluruhannya, kunjungan ini telah mencapai matlamat yang ditetapkan. Sekalung penghargaan diucapkan kepada Agust Juvenly Purba serta delegasi Kementerian Perindustrian Republik Indonesia atas kesudian mengunjungi JKR Malaysia. Semoga dengan terlaksananya kunjungan ini, kerjasama antara kedua-dua pihak akan berterusan pada masa akan datang.
#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat
- 1115 bacaan