Date: Jumaat, April 12, 2019

Pada 11 April 2019, JKR Malaysia yang diketuai oleh Tuan Ir. Kamaluddin bin Haji Abdul Rashid, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia di Putrajaya. Turut serta dalam kunjungan ini adalah Ar. Zairul Azidin bin Badri, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Pn. Mastura binti Shaari (Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat), Ir. Hj. Hanan bin Hj. Elias (Pengarah Cawangan Kerja Keselamatan), Ir. Hj. Mohd. Azhari bin Mohd Salleh (Pengarah Khidmat Pakar dan Pengurusan, Cawangan Kejuruteraan Awam & Struktur) serta wakil pengarah dari Cawangan Kerja Kesihatan dan Cawangan Kerja Pendidikan.

Kunjungan ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan dua hala dan kerjasama di antara JKR dan pihak JKKP disamping membincangkan isu – isu berbangkit berkenaan pelaksanaan dan pematuhan kepada Garis Panduan Occupational Safety and Health In Construction Industry Management (OSHCIM) untuk projek JKR selain berkongsi pandangan dengan pihak JKKP dalam hal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

Semasa kunjungan ini juga, JKR dan JKKP telah mencapai persefahaman dan bersetuju untuk sama-sama berusaha dalam pelaksanaan OSHCIM untuk projek JKR serta JKKP akan mengambil kira input dari JKR dalam melaksanakan OSHCIM. Usaha ini dimulakan dengan tiga (3) projek rintis yang akan terlibat melaksanakan OSHCIM semasa peringkat perancangan lagi. Secara keseluruhannya, kunjungan ini telah mencapai matlamat yang ditetapkan dan merupakan titik mula dalam pelaksanaan OSHCIM untuk projek JKR.