Date: Rabu, Julai 24, 2024

Pada 22 Julai 2024, delegasi seramai 14 orang daripada Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Ibu Pejabat JKR (CKM IPJKR) yang diketuai oleh YBrs. Ir. Hj. Zulkifli bin Abdul Rashad,  Pengarah Kanan CKM IPJKR, telah mengadakan kunjungan mesra ke Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia di Putrajaya. Turut mengiringi beliau YBrs. Ir. Hjh. Azizun binti Hashim, Pengarah Khidmat Pakar CKM IPJKR, ketua-ketua bahagian dan pegawai CKM.

Kunjungan ini merupakan antara program engagement antara CKM IPJKR dengan stakeholders, terutamanya agensi-agensi Kerajaan yang berkepentingan. Ia bertujuan mengeratkan kerjasama dan membincangkan isu bilateral melibatkan kedua-dua jabatan. Delegasi CKM telah disambut oleh YBrs. Ir. Hj. Mohd Hatta bin Zakaria, Ketua Pengarah JKKP; YBrs. En. Bahrudin bin Mamat, Timbalan Ketua Pengarah (Keselamatan) serta pegawai-pegawai kanan JKKP.

Ketua Pengarah JKKP mengalu-alukan kedatangan delegasi dari Ibu Pejabat JKR, menyatakan bahawa perjumpaan ini adalah penting dan perlu diadakan secara berkala pada masa akan datang. Beliau turut mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada JKR atas kejayaan memenangi anugerah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Sektor Awam Tahun 2022 dan berharap JKR terus menjadi penanda aras bagi agensi Kerajaan dalam aspek KKP.

Selain itu, JKKP turut memperincikan mengenai pindaan terkini Akta Keselamatan dan Kesihatan dan Pekerjaan 1993 yang mengganti Akta Kilang dan Jentera 1967 yang berkuat kuasa 1 Jun 2024. Ia dilaksanakan bagi menambah baik amalan dan aspek keselamatan di tempat kerja.

Topik utama perbincangan antara kedua-dua pihak tertumpu kepada penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1993 (Pindaan) 2022. Beberapa isu yang telah dibincangkan adalah seperti berikut:

  1. Implikasi pemansuhan Akta Kilang dan Jentera 1967 dan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan) 2022 terhadap projek JKR;
  2. Tahap pematuhan terhadap keperluan-keperluan standard yang diiktiraf di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022);
  3. Status arahan Ketua Pengarah JKKP yang meliputi surat arahan, pekeliling, garis panduan dan sebagainya berpandukan punca kuasa Akta Kilang dan Jentera 1967 selepas penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994);
  4. Prosedur terkini oleh JKKP bagi kerja modernisasi lif; dan
  5.  Kompetensi kakitangan penyelenggaraan lif.

Secara keseluruhan, kunjungan ini telah mencapai matlamatnya dengan semua isu yang berbangkit berjaya diselesaikan secara konsensus. Kedua-dua pihak bersetuju perbincangan lanjut akan diadakan sekiranya terdapat keperluan di masa akan datang. Setinggi-tinggi penghargaan kepada JKKP atas sambutan mesra terhadap delegasi CKM.