Date: Rabu, Mei 17, 2017

Pada 17 Mei 2017, JKR Malaysia telah menerima kunjungan delegasi Universitas Tunas Pembangunan Fakultas Teknik, Indonesia yang terdiri daripada para pensyarah, alumni dan pelajar seramai 49 orang. Kunjungan ini berlangsung di Menara Kerja Raya yang telah dinobatkan sebagai 10 Menara Baharu terbaik di dunia oleh majalah Bussiness Insider, United Kingdom (UK) pada Oktober 2015. Kunjungan ini merupakan salah satu aktiviti di dalam program lawatan mereka ke Malaysia dan pihak JKR Malaysia amat berbesar hati menerima kunjungan ini.

Majlis ini telah dipengerusikan oleh Dato' Ir. Hj. Che Noor Azeman bin Yusoff , Pengarah Bahagian Pakar, Kejuruteraan Jalan dan Jambatan, Cawangan Jalan, JKR Malaysia. Majlis dimulakan dengan doa dan ucapan aluan oleh Tuan Pengerusi. Sesi diteruskan dengan taklimat ringkas mengenai peranan JKR oleh Tn. Hj. Mohd Razali bin Derahman, Jurutera Awam Penguasa Kanan, Cawangan Dasar & Pengurusan Korporat serta taklimat Projek Central Spine Road oleh Pasukan Projek ECER, Cawangan Jalan.

Kunjungan disusuli dengan sesi soal jawab mengenai peranan JKR dalam pembangunan negara dan bertukar pandangan mengenai bidang kejuruteraan yang dipraktikkan oleh JKR. Sesungguhnya sesi berkenaan adalah pembuka laluan untuk hubungan yang lebih rapat di antara kedua agensi di masa hadapan. Para delegasi telah dibawa melawat ke rooftop terrace garden Menara Kerja Raya di akhir sesi lawatan untuk sesi bergambar.

JKR Malaysia mengucapkan terima kasih kepada delegasi daripada Universitas Tunas Pembangunan Fakultas Teknik, Indonesia kerana sudi melawat dan bertukar fikiran. Semoga jalinan ukhwah akan terus terjalin di antara dua negara berjiran ini.