Date: Rabu, Jun 14, 2023

Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) telah menerima kedatangan tetamu dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi sesi Lawatan Jalinan Mesra Dan Perkongsian Maklumat Berhubung Pelaksanaan Integrated Management System (IMS) di Jabatan Kerja Raya Malaysia pada hari Selasa, 13 Jun 2023. Lawatan ini telah dihadiri oleh YBhg. En. Chakngari@Yusof bin Daud selaku Pengarah Jabatan Integriti dan Pengurusan Risiko bersama delegasi dari LHDN Malaysia seramai 33 pegawai ke Menara Kerja Raya, JKR Malaysia.    

Objektif lawatan ini untuk memberi pendedahan yang khusus kepada pegawai-pegawai LHDN dalam merealisasikan  pelaksanaan Integrated Management System (IMS) atau Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB) yang telah dilaksanakan oleh JKR Malaysia sejak tahun 2011. Malahan LHDN juga sebagai pihak berkepentingan (stakeholders) juga berkongsi pengalaman dan idea yang bernas  dalam memantapkan lagi pelaksanaan Sistem Pengurusan Antirasuah MS ISO 37001  dalam pembangunan projek-projek kerajaan masa kini dan masa depan.

Semoga lawatan jalinan mesra ini dapat memberi manfaat kepada delegasi LHDN dalam mempelajari terutamanya sebagai pendorong kepada keupayaan penciptaan percambahan idea yang kreatif untuk melaksanakan Integrated Management System (IMS) di Lembaga Hasil Dalam Negeri. Bahkan ianya juga menjadi ruang dan peluang bagi kedua-dua pihak bersama-sama berkongsi maklumat bagi meningkatkan pencapaian organisasi masing-masing ke arah yang lebih baik serta membawa nilai tambah kepada negara yang kita cintai.

Di akhir lawatan, sesi bergambar telah diadakan bersama sebagai tanda kenangan di bangunan Menara Kerja Raya yang serba indah dan penuh aspirasi ini.