Labuan, 9 November 2024 - YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, telah meluangkan masa meninjau kemajuan kerja Projek Naiktaraf Kompleks Belia dan Sukan Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan (Tender Semula). Turut hadir adalah Puan Azura Binti Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Negara; Encik Amir Hamzah Bin Awang Ghazali, Setiausaha Bahagian Pembangunan; Puan Mahanum binti Fauzi, Pengarah JBS WP Labuan; Ir Hj Mohd Faizul bin Mohd Ali Hanapiah, Pengarah JKR WP Labuan selaku Pegawai Penguasa projek, Wakil-Wakil Pegawai Penguasa dari JKR WP Labuan, Wakil dari Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan JKR Malaysia dan Kontraktor-kontraktor yang dilantik.
Objektif utama Projek Naiktaraf Kompleks Belia dan Sukan Labuan adalah untuk meningkatkan fasiliti kemudahan awam, khususnya dalam sektor sukan selari dengan hasrat Kerajaan untuk merakyatkan dan membudayakan sukan serta memperkasakan aktiviti belia di seluruh negara.
Antara fasiliti yang disediakan di Kompleks ini adalah padang bola sepak (sintetik), gelanggang badminton, gelanggang bola jaring, gelanggang sepak takraw, gelanggang bola keranjang yang mana kompleks ini boleh menampung lebih kurang 2,500 orang apabila ianya beroperasi kelak.
Projek ini dilaksanakan secara kaedah Konvensional Dalaman yang bermula pada 1 Disember 2021 dengan kos asal sebanyak RM 17.37juta dan dijangka siap pada 19 Mac 2025. Skop kerja projek turut merangkumi:
- Naik taraf dan pembaikan fasiliti;
- Naik taraf bangunan dewan dan stadium;
- Pembaikan struktur bangunan;
- Naik taraf padang bola, trek balapan dan kemudahan olahraga;
- Merobohkan kolam renang;
- Pembaikan gelanggang tenis dan gelanggang terbuka;
- Pembaikan bumbung astaka stadium; serta serta lain-lain kerja yang berkaitan.
Diharap projek ini dapat memberi peluang kepada komuniti untuk terlibat dalam aktiviti sukan secara lebih berkesan dan berkualiti. Projek ini juga menyokong pembangunan sukan di Labuan dan menyediakan tempat yang sesuai untuk latihan, pertandingan, serta acara sukan tempatan dan peringkat lebih tinggi.
#JasaKepadaRakyat
- 363 bacaan