Date: Khamis, Disember 15, 2016
14 Disember 2016 - Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan  bin Md Taha telah mengadakan lawatan ke JKR Daerah Sepang, Selangor sebagai sebahagian daripada program Lawatan Dato’ Sri KPKR ke  ‘1 Negeri, 1 Daerah’ di seluruh negara pada tahun ini. 
 
Program lawatan ini bertujuan untuk beramah mesra dan mengeratkan hubungan, di samping untuk menyampaikan amanat kepada warga JKR. Program bermula sekitar jam 2.45 petang dengan ketibaan YBhg. Dato’ Sri KPKR di Pejabat JKR Daerah Sepang diiringi oleh YBrs.Sr Zailan bin Lagiman, YM Ir. Raja Fairol Farouk bin Raja Abd Assiss dan En. Nik Muhammad Hafiz bin Nik Ab Rashid, Pegawai-pegawai Khas KPKR. Rombongan Dato’ Sri KPKR telah disambut oleh YBrs.Tn.Hj. Mas Abdul Rahman bin Mas Mohamed, Pengarah JKR Negeri Selangor, YBrs.Ir. Rozita bt Mat Senapi, Jurutera Daerah Sepang dan juga seluruh kakitangan JKR Daerah Sepang.
 
Program dimulakan dengan YBhg. Dato' Sri KPKR telah dibawa melawat sekitar bangunan baru JKR Sepang. Majlis diteruskan dengan Taklimat ringkas berkaitan dengan aktiviti dan projek di JKR Sepang disampaikan oleh Jurutera Daerah Sepang dan seterusnya penyampaian amanat kepada kakitangan JKR Sepang oleh YBhg. Dato’ Sri KPKR. Antara amanat yang disampaikan adalah:
 
- YBhg. Dato' Sri KPKR telah memuji JKR Daerah Sepang kerana telah berjaya membina dan menyiapkan bangunan JKR Daerah Sepang yang mempunyai rekabentuk dalaman yang menarik, iaitu; tanpa menggunakan siling dengan sistem elektrikal dan mekanikal tersusun rapi dan menjimatkan kos. Kejayaan JKR Daerah Sepang membina bangunan tanpa menggunakan siling ini akan diwar-warkan kepada HODT untuk diaplikasi di projek-projek akan datang. 
 
-Teamwork di kalangan warga JKR termasuklah di peringkat kumpulan sokongan perlu dipupuk agar kegemilangan JKR dapat dikembalikan semula. 
 
- YBhg. Dato' Sri KPKR telah berkongsi rakaman ucapan YAB Perdana Menteri di dalam Majlis Perasmian Menara Kerja Raya pada 7 Disember 2016 yang lalu di mana ianya merupakan detik bersejarah JKR apabila ianya dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia. 
 
- JKR sebagai pencabar dan penggerak khususnya dari aspek teknikal. YAB Perdana Menteri telah menyarankan agar JKR bukan hanya merekabentuk dan melaksanakan projek-projek yang biasa tetapi bergerak ke hadapan dengan menjadi agen perubahan untuk memacu pembangunan negara dengan menggunakan teknologi yang baru dan kreatif.
 
-JKR perlu menyahut saranan daripada YAB Perdana Menteri ini bagi mengembalikan zaman kegemilangan JKR agar menjadi jabatan yang terbaik di Malaysia.
 
- YB Menteri Kerja Raya dan juga KSU KKR telah bersetuju untuk menaikkan nilai deposit untuk kerja-kerja HDD dan sebagainya. Cawangan Fasiliti Senggara Jalan telah mengeluarkan pekeliling dan surat untuk menguatkuasakan arahan ini dan Jurutera Daerah diminta agar bertegas dengan syarikat utiliti agar perkara ini dapat dilaksanakan disamping memastikan jalan-jalan yang diselenggara di bawah JKR berada dalam keadaan baik dan selamat.
 
-Warga JKR memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ dengan menyiasat aduan oleh orang awam samaada ianya betul atau palsu. Pastikan jalan-jalan negeri dan persekutuan disenggara dengan baik dan tiada lubang dan air bertakung di selekoh-selokoh yang boleh membahayakan pengguna jalanraya. JKR daerah diminta bertegas dengan konsensi yang dilantik di dalam melaksanakan kerja-kerja selenggaraan jalan demi memastikan jalan-jalan sentiasa berkeadaan baik.
 
-Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya telah menetapkan KPI kepada JKR supaya mulai tahun 2017 :
 
1) Sekurang-kurangnya 50% dari jumlah projek yang siap mestilah siap bersama dengan 3 dalam 1 iaitu Sijil Perakuan Siap Kerja, Lukisan Siap Terbina (as-built drawing) dan juga Sijil Perakaun Muktamad (Statement of Final Account)
 
2) Tempoh bayaran kemajuan samaada bayaran tuntutan elaun, kemudahan dan bayaran kepada Pegawai Pengurusan dan Profesional, Kumpulan Sokongan dan juga tuntutan bayaran kontraktor, pembekal dan sebagainya hendaklah di dalam tempoh 7 hari.
 
3) Bilangan projek yang mempunyai EOT tidak melebihi 30%
 
 
-YAB Perdana Menteri telah menyarankan agar JKR menggunakan teknologi-teknologi yang baru. JKR telah memperkenalkan beberapa teknologi baru di antaranya teknologi pembinaan jambatan tanpa tiang intermediate. Ini telah dibuktikan semasa lawatan YB Menteri Kerja Raya ke projek pembinaan Jambatan di daerah Grik Perak di mana pembinaan jambatan tersebut tanpa tiang sepanjang 100 meter.
 
-Pengurusan JKR yang ada sekarang mempunyai barisan kepimpinan dan semangat kerja berpasukan yang baik dan ini diakui oleh KSU Kementerian Kerja Raya di mana aduan daripada Kementerian pelanggan adalah berkurangan pada masa ini.
 
-Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pelajaran telah berbincang dan bermesyuarat untuk melaksanakan projek-projek di bawah kategori sekolah daif. YAB Perdana Menteri telah mengumumkan di dalam belanjawan pada bulan Oktober 2016 yang lalu di mana sebanyak 30 buah akan dibina di Negeri Sarawak dan Sabah manakala 60 buah lagi di Semenanjung. Jurutera Daerah diminta bersedia dan diminta projek tersebut dapat dilaksanakan segera sebaik senarai sekolah-sekolah tersebut diumumkan kelak. Arahan telah dikeluarkan di mana projek ini perlu disiapkan dalam tempoh 2 bulan sahaja.
 
-Pengurusan JKR telah mencadangkan mulai penilaian LNPT tahun 2016 hanya 1% pegawai sahaja di organisasi samaada di daerah atau negeri yang akan mendapat markah LNPT 95% dan ke atas. JKR telah ditegur oleh Ketua Setiausaha Negara dimana JKR merupakan organisasi yang mempunyai markah LNPT yang tinggi berbanding prestasi yang kurang memuaskan.
 
-Pihak pengurusan akan memperkenalkan beberapa kriteria baru untuk kenaikan pangkat di mana untuk tahun 2017 dicadangkan untuk LNPT sebanyak 70% tiga tahun berturut-turut, 25% untuk sesi temuduga dan 5% untuk pegawai profesional iaitu Ir,Ar atau Sr.  
 
-Melaksanakan kerja dan tugasan yang diberikan dengan baik dan berintegriti, iaitu; mengikut kontrak, spesifikasi dan juga mematuhi SOP yang telah ditetapkan, mendokumentasikan segala proses kerja dan sebaik-baiknya setiap keputusan atau tindakan yang diputuskan seharusnya dibuat dalam bentuk jawatankuasa. Mana-mana kerja yang dilaksanakan tidak mengikut spesifikasi hendaklah diberikan amaran secara bertulis ataupun lisan kepada kontraktor dan pegawai bolehlah memaklumkan kepada Jurutera Daerah ataupun Pengarah sekiranya amaran tersebut tidak diterima oleh pihak yang terlibat.
 
Lawatan kerja YBhg. Dato' Sri KPKR diakhiri dengan lawatan ke projek Ride and Park di Sepang dan meninjau keadaan jalan yang dikorek tanpa persetujuaan oleh pihak utiliti. Semoga Program Lawatan oleh Dato’ Sri KPKR ini akan meningkatkan hubungan dan persefahaman semua warga JKR demi mencapai kesepakatan yang diharapkan.