Date: Jumaat, Februari 25, 2022

Pada 23 Februari 2022, Unit BIM, Bahagian Pengurusan Projek Kompleks (BPPK), Cawangan Perancangan Aset Bersepadu telah menerima kunjungan delegasi dari Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan Malaysia Airport (Sepang) yang diketuai oleh Encik Nordin bin Isnin, Pengurus Kanan MA (Sepang). Pihak JKR amat berbesar hati menerima kunjungan ini dan meluangkan masa untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pelaksanaan BIM di JKR.

Objektif lawatan delegasi yang dihadiri oleh 15 orang kakitangan MAHB dan MA (Sepang) ini adalah untuk mempelajari adaptasi penggunaan BIM di JKR dalam pengurusan aset menyeluruh serta pembangunan kompetensi, sumber manusia dan teknologi berdasarkan polisi jabatan sebagai persediaan bagi melaksanakan inisiatif BIM dalam projek-projek di bawah kendalian MA (Sepang).

Program ini dimulakan dengan ucapan pembukaan daripada Ketua Unit BIM iaitu Ir. Ahmad Ridzuan bin Abu Bakar dan diikuti oleh taklimat pengenalan MAHB oleh Encik Nordin bin Isnin. Program diteruskan dengan taklimat Status Pelaksanaan BIM oleh Ir. Ts. Mohd Faiz bin Shapiai serta demo perisian BIM oleh Ar. Nurnajdah Fatihah binti Mohd Najib, (Arkitek), Nur Hafizah binti Abu Harith (Struktur), Muhammad Nazmi bin Mat Na’ain (M&E), Tc. Nur Izati binti Abdul Halim (Sivil) dan Ir. Ts. Zul Amri bin Abu Bakar (Koordinasi). Program diakhiri dengan sesi lawatan pihak delegasi ke pejabat Unit BIM dan Studio Latihan BIM.

Melalui pendedahan dan gambaran yang diberikan, diharapkan agar pelaksanaan dan potensi penggunaan BIM dapat diperluaskan di peringkat nasional bagi memacu pertumbuhan ekonomi digital yang mampu memberi manfaat dalam pembangunan infrastruktur negara.