Date: Khamis, Februari 16, 2023

15 Februari 2023 - Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB) telah menerima kunjungan delegasi Sarawak Energy Berhad (SEB) yang diketuai oleh Senior Manager II, Cost-Risk-Digitalisation, PCPM, Project Delivery iaitu En. Simon Loh Cheng Kui. Pihak CPAB yang diketuai oleh Ketua Unit BIM, Ir. Ahmad Ridzuan bin Abu Bakar berbesar hati menerima kunjungan ini dan meluangkan masa untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam pelaksanaan BIM di JKR.

Lawatan delegasi yang dihadiri seramai 11 orang pegawai ini merupakan salah satu inisiatif SEB dalam usaha mentransformasikan penggunaan BIM dalam pelaksanaan projek dan pengurusan fasiliti.

Program ini dimulakan dengan ucapan kata aluan dan pengenalan pelaksanaan BIM di JKR daripada Ketua Unit BIM, Ir. Ahmad Ridzuan dan diteruskan oleh wakil SEB, En. Simon Loh yang menerangkan pengenalan organisasi serta tujuan lawatan ke JKR sebagai penanda aras (benchmark) pelaksanaan BIM dalam industri pembinaan.

 

 

Seterusnya taklimat berkaitan pelaksanaan projek BIM telah dibentangkan oleh Ir. Ts. Mohd Faiz bin Shapiai dan disusuli oleh Ar. Nurnajdah Fatihah binti Mohd Najib, Khairudin bin Abu Kasim dan Ts. Norsabrina Aine binti Mohamad Sabri bagi sesi demostrasi perisian BIM skop bangunan, infrastruktur dan koordinasi.

Sebagai tanda penghargaan dan kerjasama, program diteruskan dengan sesi penyerahan dan pertukaran cenderahati oleh kedua-dua pihak serta sesi bergambar. Delegasi SEB juga berpeluang melawat Studio Latihan BIM untuk melihat keperluan fasiliti ICT yang diperlukan dalam pelaksanaan BIM.

Diharapkan pendedahan dan perkongsian ilmu ini dapat memberi manfaat kepada pihak SEB dalam usaha menyokong inisiatif pendigitalan pengurusan projek dan fasiliti di peringkat industri pembinaan Malaysia.