Date: Jumaat, Julai 1, 2022

Pada 30 Jun 2022, Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) telah mengadakan Lawatan Teknikal Ke Tapak Projek PNB Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur Bagi Pelaksanaan Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP). Lawatan ini telah disertai oleh warga JKR Malaysia yang terdiri dari Bahagian Pengurusan Kualiti (BPK), Bahagian Pengurusan Perubahan dan Prestasi (BPPP), Bahagian Komunikasi Korporat (BKK), Bahagian Penyelarasan dan Khidmat Sokongan (BPKS) dan juga wakil daripada beberapa Cawangan lain. Delegasi lawatan ini telah diketuai oleh Lt. Kol. Bersekutu (PA) Hj. Abdul Rani bin Harun, Ketua Bahagian Pengurusan Kualiti (BPK).

Objektif lawatan ini adalah untuk memberikan pendedahan baru kepada pegawai JKR khususnya dalam pembinaan bangunan tinggi termasuklah pengadaptasian teknologi digital dalam industri pembinaan masa kini, perkongsian ilmu dan pengalaman, bertukar pandangan serta idea perihal berkaitan amalan pengurusan terbaik KKP di tapak projek bermula dari peringkat perancangan sehingga ke peringkat pembinaan.

Delegasi JKR telah dibawa ke Emerald Room, Site Office untuk mendengar sesi taklimat dan pembentangan yang disampaikan oleh Tuan Syed Alwee bin Syed Abd Kadir yang merupakan Head, Engineering Services, PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. (PMVSB). Taklimat merangkumi pengenalan sejarah kawasan tapak projek, fasa pembangunan, penggunaan teknologi, pengoperasian, dan lain-lain lagi informasi.

Menara Merdeka 118 akan menjadi menara pertama di Malaysia mencapai tiga penarafan platinum hijau dalam persijilan kelestarian antarabangsa. Ini menjadikan Menara Merdeka 118 satu penanda aras yang baru dalam industri pembinaan di Malaysia sebagai menara ikonik negara pada masa depan. Menara Merdeka 118 ini merupakan Menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa dan tertinggi di Malaysia mahupun di  Asia Tenggara.

Lawatan kerja dan libat urus ini amat memberi manfaat kepada delegasi JKR terutamanya sebagai motivasi serta pendorong kepada keupayaan penciptaan idea dan inisiatif strategik yang baru selain perkongsian ilmu dan pengalaman pihak PMVSB ini dapat meningkatkan lagi keupayaan JKR Malaysia dalam penambahbaikan serta mengadaptasi pelaksanaan pengurusan quality dan safety serta penyampaian perkhidmatan di tempat kerja.

Akhir lawatan ini, pemberian cenderahati serta sesi bergambar kenangan telah diadakan sebagai simbolik tanda penghargaan dan terima kasih kepada pihak PMVSB. Sekalung penghargaan diucapkan kepada pihak PMVSB atas kesudian menerima kunjungan dari delegasi JKR Malaysia Secara keseluruhannya, program pada hari ini telah mencapai matlamat yang diingini.