Date: Khamis, Jun 13, 2024

YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya telah meluangkan masa meninjau kemajuan kerja Projek Pembinaan Gantian Penuh 12 Bilik Darjah dan Lain-lain Kemudahan di SK Jalan Haji Baki, Padawan, Sarawak dalam lawatan rasmi beliau ke Kuching, Sarawak pada 11 Jun 2024 (Selasa). Turut hadir adalah wakil-wakil dari Kementerian Kerja Raya, Cawangan Kerja Pendidikan JKR Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan pasukan projek yang terdiri daripada Pasukan Projek Khas 2, JKR Malaysia, Perunding dan Kontraktor.

Projek pembinaan sekolah ini adalah merupakan salah satu daripada 25 buah projek di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sedang dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2, JKR Malaysia di Sarawak. Projek ini dilaksanakan secara kaedah Konvensional Perunding (Tender Terbuka) dengan kos asal sebanyak RM18.18 juta. Tempoh pembinaan projek ini adalah selama 26 bulan iaitu bermula pada 14 April 2022 dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Julai 2024. Sehingga pada hari ini, kemajuan fizikal projek telah mencapai 91.83% (Sebenar) berbanding 90.83% (Jadual), iaitu mendahului 1 hari.

Skop projek ini adalah pembinaan gantian penuh 12 bilik darjah dan lain-lain kemudahan termasuklah satu (1) unit blok pentadbiran dan akademik yang mengandungi 12 Bilik Darjah, pejabat guru, bilik sakit dan pergigian, bilik komputer, perpustakaan, bilik Pendidikan seni, bilik sains dan surau, satu (1) unit blok gelanggang terbuka berbumbung, satu (1) unit blok kantin, satu (1) unit bilik elektrik, satu (1) unit rumah pam, satu (1) unit rumah sampah, satu (1) unit pondok pengawal, tiang bendera, laluan pejalan kaki berbumbung, tempat letak basikal dan lain-lain kerja berkaitan.

Matlamat utama pembinaan sekolah ini adalah untuk menggantikan bangunan asal yang terdiri daripada struktur kayu kepada sebuah bangunan sekolah yang dapat menyediakan ruang dan kemudahan serta persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selesa kepada guru-guru dan murid-murid.

Dalam lawatan tersebut, YB Timbalan Menteri Kerja Raya di dalam satu sidang media memaklumkan bahawa pegawai-pegawai di Kementerian Kerja Raya dan agensi di bawahnya sentiasa diingatkan supaya sentiasa mengamalkan prinsip 5K dalam menjalankan tugasan iaitu :

(1) Kesejahteraan Rakyat;

(2) Kepantasan Tindakan;

(3) Kos yang Munasabah;

(4) Kualiti yang Terjamin;

(5) Kebitaraan Inovasi

Adalah diharapkan kontraktor utama projek ini bersama-sama sub-kontraktor yang dinamakan (Nominated Sub-Contractor, NSC) dapat menyiapkan projek ini dalam tempoh masa, kos dan kualiti yang telah ditetapkan demi pemerkasaan institusi pendidikan anak bangsa Rakyat Madani di Sarawak.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan kelancaran projek ini.