Date: Rabu, April 3, 2024

Segala Puji Bagi Allah SWT, saban tahun sempena menyambut bulan Ramadan yang mulia, Majlis Ihya’ Ramadhan Al-Mubarak Jabatan Kerja Raya ini telah diadakan pada 27 Mac 2024 di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid.

Majlis ini telah dihadiri hampir 200 tetamu yg terdiri daripada Pengurusan JKR Malaysia, para Jurutera Daerah dan warga JKR Malaysia. Ia turut diserikan dengan kehadiran mantan-mantan Ketua Pengarah Kerja Malaysia (KPKR) terdiri daripada YBhg. Tan Sri Dato’ Ir. Hj. Zaini bin Omar, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Judin bin Abdul Karim, YBhg. Dato’ Seri Ir. Hj. Mohd Noor bin Yaacob, Datuk Ir. Hj. Adanan bin Mohamad Hussain, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Hj. Roslan Md. Taha, YBhg. Dato’ Seri Ir. Hj Mohamad Zulkefly bin Sulaiman dan YBhg. Datuk Ir. Hj. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool.

Majlis telah bermula pada jam 5.30 petang dengan Sesi Interaktif “Enta Tanya, Ana Jawab” bersama Al-Fadhil Ustaz Al-Hafiz bin Hj. Ishak, daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) bersama moderator, YBrs. Ir. Ts. Mohd Hazery bin Hj. Md. Shamsi.

Ucapan majlis ini telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Ir. Hj. Badioezaman B. Ab. Khalik, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), yang menjalankan tugas Ketua Pengarah Kerja Raya. Antara intipati ucapan beliau adalah bersama-sama mengajak para hadirin agar terus menyemarakkan sambutan bulan Ramadhan Al-Mubarak dengan merapatkan ukhwah fillah dan silaturahim disamping memperbanyakan amalan soleh di bulan yang mulia ini.

Setelah berbuka puasa beramai-ramai, majlis diteruskan dengan Solat Maghrib, tazkirah, Solat Isya’ dan Terawih berjemaah di Surau Blok F, JKR.

Tazkirah dan solat telah disampaikan dan diimamkan oleh al-Fadhil Ustaz Salehuddin bin Jamaluddin Al-Hafiz, Imam jemputan daripada Putrajaya.

Kutipan dan sumbangan daripada majlis ini akan dihulurkan kepada warga JKR Malaysia yang mengidap sakit barah kritikal melalui ziarah mahabbah JKRPrihatin 2024.