Date: Isnin, April 3, 2023

Pada 9 Ramadan 1444H (Jumaat) bersamaan 31 Mac 2023, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengadakan Majlis Ihya Ramadan Al - Mubarak Bersama Pengurusan Tertinggi JKR di Dewan Tan Sri Mahfuz Khalid.

Program ini adalah untuk memupuk dan memperkukuh semangat kerja muafakat dan muhibbah di antara Pengurusan JKR Malaysia dengan semua lapisan warga kerja JKR Malaysia, disamping menjadi wadah penghubung pertemuan yang boleh sekaligus merapatkan ukhwah fillah dan silaturahim antara warga JKR.

Majlis telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Ahmad Redza bin Ghulam Rasool, Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) dan juga ucapan dari mantan-mantan KPKR. Antara mantan KPKR yang hadir adalah Tan Sri Dato' Ir. Haji Zaini bin Omar, Dato' Sri Ir. Dr. Judin bin Abdul Karim, Dato' Seri Ir. Hj. Mohd Noor bin Yaacob, Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha dan Dato' Seri Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman.

Seramai 250 orang warga JKR yang terdiri daripada Pengurusan Atasan, Pengarah-pengarah, Jurutera Daerah telah hadir bagi memeriahkan majlis ini dan ditambah seri dengan kehadiran 9 anak yatim JKR dari pelbagai cawangan. YBhg. Dato’ KPKR diiringi oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Masri bin Baharuddin, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK), turut menghulurkan sumbangan duit raya daripada Pengurusan Atasan JKR, Pengarah-pengarah dan Jurutera Daerah sebagai tanda keprihatinan kepada anak-anak yatim warga JKR. Diharapkan sumbangan ini dapat memberikan keceriaan kepada mereka di bulan Ramadan dan Syawal yang akan kunjung tiba.

Majlis diteruskan lagi dengan Tazkirah Ilmu; “Ente tanya, Ana jawab” yang dikendalikan oleh Ustaz Sharil Samad daripada JAKIM.

Warga JKR dan para tetamu yang hadir turut berkesempatan menunaikan solat Maghrib, sesi rakaman takbir raya, solat Isyak dan juga solat sunat Terawih di Surau Blok F, JKR.

Majlis bersurai selepas jamuan moreh. Semoga jalinan silaturahim diantara warga JKR kekal hingga ke akhir hayat.