Date: Rabu, Disember 19, 2018

Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi Program Sangkutan Industri dan Program Sarjana Kejuruteraan Rel telah berlangsung pada 19 Disember 2018 di Menara Kerja Raya.

Majlis menandatangani Memorandum Perjanjian anatara JKR dan UTHM ini telah disempurnakan bersama oleh Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan Bin Md Taha dan Timbalan Naib Cancelor UTHM, YBhg. Prof. Ts. Dr. Ruzairi Bin Abdul Rahim.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan UTHM YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Ishak Bin Baba, Pendaftar UTHM, YBrs. En. Naim Bin Maslan, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBhg. Dato' Ir. Dr. Meor Abdul Aziz bin Hj. Osman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), YBrs. Ir. Kamaluddin bin Haji Abdul Rashid, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), YBrs. Ar. Zairul Azidin bin Badri, Pengarah - Pengarah Kanan JKR dan delegasi UTHM.           

Objektif Program Sangkutan Industri ini adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan teknikal kepada pegawai-pegawai akademik UTHM bagi memenuhi syarat dan kelayakan untuk memperolehi Professional Engineer (P.E). Seramai 11 orang pegawai akademik UTHM telah berjaya menjalani program Fasa 1 bermula pada 1 Disember 2016 sehingga 28 Februari 2018.  Bagi mengekalkan lagi hubungan dua hala ini, Jabatan telah bersetuju untuk meneruskan lagi Program Sangkutan Industri Fasa 2 yang telah diadakan mulai 24 September 2018 dengan penglibatan seramai 5 orang pegawai akademik gabungan UTHM dan UTEM.

Lanjutan daripada Program Sangkutan Industri ini, pihak UTHM telah menawarkan kepada Jabatan ini untuk mengadakan Program Khas Pengajian Sarjana Kejuruteraan Rel secara separuh masa kepada pegawai JKR. Program pengajian akan diadakan di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan & Teknologi (CREaTE), Melaka pada  setiap hari Sabtu dan Ahad yang dijadualkan akan bermula pada Februari 2019 selama dua (2) tahun.           

Adalah diharapkan program serampang dua mata ini dapat merealisasikan aspirasi pihak universiti untuk melahirkan pensyarah yang berkelayakan Jurutera Professional di samping dalam masa yang sama pihak Jabatan juga dapat melahirkan pegawai yang mempunyai kepakaran dalam bidang Kejuruteraan Rel. Semoga perkongsian ilmu dan kepakaran di dalam program ini dapat  mengeratkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama di antara UTHM dan Jabatan ini.