Date: Khamis, Oktober 19, 2017

Majlis Mengenang Jasa Pesara JKR telah diadakan pada 19 Oktober 2017 di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya. Majlis yang dihadiri oleh YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya dan diiringi oleh YBhg. Dato’ Ir. Dr. Meor Abdul Aziz bin Hj. Osman, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Infra) dan YBrs. Tuan Hj. Meor Mohamed Haris bin Meor Hussein, Jurutera Awam Penguasa Kanan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Mengenang Jasa Pesara JKR tahun 2017 serta pegawai – pegawai kanan Jabatan Kerja Raya. Majlis diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas khidmat bakti dan sumbangan yang dicurahkan oleh warga kerja JKR yang telah dan bakal bersara sepanjang tempoh perkhidmatan. Seramai 235 orang berkesempatan untuk hadir menerima sijil penghargaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh YBrs. Ir. Mohd Hazery bin Hj. Md. Shamsi dan disusuli dengan ucapan daripada wakil kakitangan pesara iaitu Puan Noridaton Akma Binti Bahari. Majlis diteruskan dengan ucapan penghargaan oleh YBhg. Dato’ Sri KPKR. Dalam ucapan oleh YBhg. Dato’ Sri KPKR, beliau mengucapkan setinggi – tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jemputan dan tetamu yang dirai kerana sudi hadir memeriahkan majlis. Beliau mengharapkan warga kerja JKR yang telah dan bakal bersara terus menyumbang khidmat dan kepakaran tidak kira dalam bidang pendidikan, latihan ataupun penyelidikan dalam membangunkan negara.

Seluruh warga JKR mengucapkan setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih di atas jasa dan bakti mereka kepada JKR sepanjang tempoh berkhidmat. Didoakan agar mereka yang bersara akan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dirahmati Allah.