Date: Khamis, November 3, 2016

3 November 2016 - Majlis Meraikan Pesara Kakitangan JKR Malaysia telah diadakan di Dewan Tan Sri Mahfuz Khalid Kementerian Kerja Raya sebagai tanda penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan serta jasa bakti kakitangan JKR kepada jabatan sepanjang tempoh perkhidmatan.
 
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh YBrs. Ir. Mohd Hazery b Hj. Md. Shamsi dan disusuli dengan ucapan daripada wakil kakitangan pesara iaitu Tn. Hj. Adnan b Mat Nasir serta ucapan penghargaan yang telah disampaikan oleh YBhg. Dato' Ir. Dr. Hj. Hasnul bin Mohamad Salleh, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra).Majlis turut diserikan dengan tayangan rakaman ucapan penghargaan daripada YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya JKR Malaysia yang tidak berkesempatan hadir ke majlis tersebut.
 
Seramai 318 pesara kakitangan JKR di seluruh cawangan dan negeri telah diberikan Sijil Penghargaan di atas sumbangan dan khidmat bakti mereka. Majlis turut dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian oleh kakitangan JKR yang terlibat.
 
Seluruh warga JKR mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan dan jasa bakti mereka kepada JKR sepanjang tempoh berkhidmat. Didoakan agar mereka yang bersara akan sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan sentiasa dirahmati Allah.