Date: Jumaat, Ogos 30, 2024
28 Ogos 2024 (Rabu), bertempat di Aras Plaza, Blok G, Menara Kerja Raya telah berlangsungnya Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat JKR Tahun 2024 yang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Hj. Badioezaman Bin Ab Khalik, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan). 
 
Program ini telah dianjurkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat (BKK), Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) dan turut dihadiri oleh Ir. Mohd Shahrom Bin Ahmad Saman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra); Ir. Hj. Zulkifli Bin Abdul Rashad, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar); barisan pengurusan tertinggi jabatan serta  lebih 200 orang warga JKR yang turut sama hadir memeriahkan majlis.
 
Majlis telah dimulakan dengan sesi Bicara Ekslusif bertajuk The Rukun Negara and the return to democracy in Malaysia yang telah disampaikan oleh Encik Ahmad Muziru Idhman Adnan, Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR). Majlis turut dimeriahkan dengan perarakan masuk barisan pahlawan Melayu dan pelbagai etnik Malaysia sebagai simbolik rakyat berbilang bangsa di negara ini. Pelancaran telah disempurnakan dengan paluan gong dan laungan MERDEKA sebanyak tujuh kali oleh YBhg. Dato TKPKR (Sektor Bangunan) sendiri. Acara persembahan pula telah menampilkan penglibatan dua orang warga JKR yang telah mendeklamasikan sajak dan nyanyian lagu “Pahlawanku” dan “Bahtera Merdeka”.
 
Bagi acara tahun ini, pihak urus setia turut berkolaborasi bersama Perpustakaan IDFR bagi membawakan dua pameran yang bertemakan RUKUN NEGARA dan tema Hari Kebangsaan 2024 iaitu MALAYSIA MADANI: JIWA MERDEKA.
 
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan bersempena majlis ini seperti Pertandingan Fotografi “Jiwa Merdeka”, cabutan bertuah, Pertandingan ‘Indoor Game’ iaitu Karom (dijuarai oleh wakil CKBA1), pertandingan Cogkak (dijuarai oleh wakil CPAB) dan pertandingan Batu Seremban (dijuarai oleh wakil Cawangan Jalan).
 
YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya turut berkesempatan beramah mesra bersama peserta pertandingan dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang seusai tugasan rasmi beliau. Secara keseluruhannya, program seumpama ini telah menarik kehadiran warga JKR dan diharapkan dapat mencapai objektif program dalam menyemai penghayatan kemerdekaan di kalangan warga JKR.
 
Pautan gambar sekitar Majlis:
https://shorturl.at/2YlPj (link is external)