Date: Rabu, Disember 2, 2020

KLIK UNTUK MUAT TURUN DOKUMEN PELAN STRATEGIK JKR 2021-2025

 

Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah mengadakan Majlis Pelancaran Poster Pelan Strategik JKR 2021 – 2025 yang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly Bin Haji Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya pada 2 Disember 2020 bertempat di Menara Kerja Raya 2, Blok G.

Majlis ini turut dihadiri oleh 20 orang jemputan yang terdiri daripada YBhg. Datuk Ir. Razdwan bin Kasim, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), YBhg. Dato' Ir. Haji Ahmad Redza bin Ghulam Rasool​, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBhg. Datuk Ir. Ruslan Bin Abdul Aziz, menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), serta Pengarah Kanan / Pengarah Cawangan yang berada di sekitar Ibu Pejabat JKR Jalan Sultan Salahuddin sahaja. Kehadiran yang terhad ini diperlukan bagi mematuhi prosedur SOP yang telah ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuatkuasa.

Majlis Pelancaran Poster Pelan Strategik JKR 2021 – 2025 ini adalah merupakan inisiatif pihak Jabatan bagi tujuan hebahan dan promosi terhadap Pelan Strategik JKR 2021 – 2025 yang telah berjaya dilancarkan secara rasmi oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya pada 29 September 2020 yang lalu.

Adalah diharapkan inisiatif hebahan Pelan Strategik JKR melalui poster ini dapat menjadi medium hebahan yang bermanfaat dan informatif kepada semua warga JKR, seterusnya menjadi pemangkin dan pencetus revolusi keyakinan terhadap JKR dan pencetus inspirasi warga JKR untuk terus komited mencapai Visi, Misi dan Objektif Jabatan.

Bersempena Majlis Pelancaran Poster Pelan Strategik JKR 2021 – 2025 ini juga, YBhg. Dato’ KPKR turut menyampaikan poster Pelan Strategik JKR kepada TKPKR (Sektor Pakar), TKPKR (Sektor Infra), TKPKR (Sektor Bangunan) dan Pengarah Kanan CPAB (Sektor Pengurusan) sebagai wakil penerima poster-poster untuk Cawangan di bawah sektor masing-masing. Majlis diakhiri dengan penyerahan poster Pelan Strategik JKR oleh Penaja Pelan Strategik JKR iaitu YBhg. Datuk Ir. Razdwan bin Kasim, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) kepada YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly Bin Haji Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya.