Date: Khamis, September 7, 2023

JKR Malaysia di bawah Bahagian Pengurusan Kualiti, CDPK telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan program Corporate Social Responsibility (CSR) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) JKR Malaysia Bersama Komuniti melibatkan masjid dan sekolah.  Pada 6 September 2023 bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dilaksanakan Majlis Pelancaran Program CSR KKP JKR Malaysia Bersama Komuniti yang telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBhg. Dato’ Ir. Hj. Zulkipli bin Hj. Nasri. Majlis perasmian ini turut dihadiri bersama Pengarah JAWI iaitu YBhg. Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Pengarah CDPK, YBhg. Dato’ Ir. Ts. Masri bin Baharuddin, Pengarah JKR WPKL, YBhg. Dato’ Norman bin Md Rabani dan Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Al-Fadhil Ustaz Rozimi bin Zamri.

Objektif program adalah bagi berkongsi khidmat kepakaran teknikal dan pengalaman JKR dalam pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) dengan premis-premis terpilih seluruh Malaysia seperti masjid dan sekolah dan seterusnya mengurangkan risiko berlakunya kemalangan serta menjadikan premis – premis tersebut sebagai tempat yang selamat dan sihat. Program ini dilaksanakan secara 2 peringkat melibatkan pemeriksaan aspek KKP di premis tersebut di peringkat pertama dan disusuli dengan taklimat dan perkongsian khidmat kepakaran berkaitan KKP dan cadangan penambahbaikan di peringkat kedua oleh YBrs. Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ir. Haji Abdul Rani bin Harun.

Ribuan terima kasih diucapkan kepada JKR Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di atas sumbangan Pelan Laluan Kecemasan, First Aid Kit dan pemasangan papan tanda ‘Tempat Berkumpul Semasa Kecemasan’ kepada pihak masjid.

Syabas JKR Malaysia atas sikap keprihatinan dan penzahiran tanggungjawab dan khidmat sosial kepada komuniti melalui perkongsian kepakaran selari dengan visi JKR sebagai pemberi perkhidmatan bertaraf dunia dan pusat kecemerlangan dalam bidang pengurusan aset, pengurusan projek serta perkhidmatan kejuruteraan.