Date: Rabu, Oktober 11, 2023

JKR Malaysia di bawah Bahagian Pengurusan Kualiti, CDPK telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan program Corporate Social Responsibility (CSR) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) JKR Malaysia Bersama Komuniti yang bermula pada bulan April 2023 sehingga Oktober 2023. Program CSR KKP ini melibatkan 1 masjid di peringkat komuniti, 1 masjid daerah, 1 masjid negeri dan 1 sekolah menengah berasrama.

Program CSR KKP JKR Malaysia bersama pengurusan sekolah bermula semasa Majlis Pelancaran Program CSR KKP JKR Malaysia Dengan Kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), yang telah diadakan pada 6 Oktober 2023 bertempat di Sekolah Agama Menengah Bestari, Subang Jaya. Ianya telah disempurnakan oleh Pengarah CDPK, YBhg. Dato’ Ir. Ts. Masri bin Baharuddin  dan Timbalan Pengarah Pengurusan JAIS, YBrs. Tuan Mohd Faizal Bin Abdul Raji. Majlis ini turut dihadiri oleh wakil dari JKR Selangor, JKR Daerah Petaling, pegawai-pegawai dari Bahagian Pendidikan Islam JAIS, pengetua- pengetua, guru besar– guru besar dan barisan pentadbir sekolah dan maahad di bawah pengurusan JAIS.

Objektif program adalah bagi berkongsi khidmat kepakaran teknikal dan pengalaman JKR dalam pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) dengan premis-premis terpilih seluruh Malaysia seperti masjid dan sekolah dan seterusnya mengurangkan risiko berlakunya kemalangan serta menjadikan premis – premis tersebut sebagai tempat yang selamat dan sihat. Program ini dilaksanakan secara 2 peringkat melibatkan pemeriksaan aspek KKP di premis tersebut di peringkat pertama yang turut dibantu oleh CKE JKR Selangor, CKM JKR Selangor dan JKR Daerah Petaling. Program ini disusuli dengan taklimat dan perkongsian khidmat kepakaran berkaitan KKP dan cadangan penambahbaikan di peringkat kedua oleh YBrs. Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ir. Haji Abdul Rani bin Harun dan sistem pengurusan KKP di sekolah oleh Puan Ai’nun Bashirah Binti Hamid.

Pengarah CDPK, YBhg. Dato’ Ir. Ts. Masri bin Baharuddin semasa ucapan perasmian program turut berkongsi berita kemenangan JKR Malaysia di dalam Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara kategori Perkhidmatan Awam dan Badan Berkanun tahun 2022 di mana anugerah yang berprestij tertinggi di peringkat negara. Secara tidak langsung, pengiktirafan tersebut menunjukkan komitmen tinggi oleh JKR Malaysia dalam menzahirkan prestasi cemerlang di dalam perlaksanaan sistem pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di tempat kerja. Majlis penganugerahan anugerah ini telah dijadualkan pada 25 Oktober 2023.

Syabas JKR Malaysia atas sikap keprihatinan dan penzahiran tanggungjawab dan khidmat sosial kepada komuniti melalui perkongsian kepakaran selari dengan visi JKR sebagai pemberi perkhidmatan bertaraf dunia dan pusat kecemerlangan dalam bidang pengurusan aset, pengurusan projek serta perkhidmatan kejuruteraan.

CSR JKR JAIS

CSR JKR JAIS

CSR JKR JAIS

CSR JKR JAIS

CSR JKR JAIS