Date: Isnin, March 29, 2021

Hari ini, Isnin 29 Mac 2021 jam 10.00 pagi telah berlangsung Majlis Pelancaran Sistem J10 dengan dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Yusof, Menteri Kanan Kerja Raya secara Hybrid (Secara Atas Talian [Facebook] dan Fizikal) dengan kehadiran YBhg. Dato’ Dr. Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Ir. Hj. Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya,  YBhg. Datuk Badrul Hisham bin Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan), YBhg. Datuk Ir. Razdwan Bin Kasim, TKPKR (Pakar) merangkap CIO projek, YBhg. Dato' Ir. Haji Ahmad Redza bin Ghulam Rasool​, TKPKR (Infra) serta dif-dif kehormat yang dijemput hadir sama serta tetamu secara maya.

Majlis Pelancaran Sistem J10 ini diadakan bagi menguar-uarkan kepada semua pihak berkepentingan (Stakeholder) mengenai Sistem ICT baharu telah dibangunkan yang dinamakan Sistem J10.

J10 diambil daripada perkataan ‘J’ bagi JKR dan 10 Fasa Kitar Hayat Pengurusan Projek dan Fasiliti Aset Kerajaan. Ianya dibangunkan sebagai Laman Web rasmi JKR untuk mempertingkatkan keupayaan pengurusan, pemantauan serta pelaporan prestasi projek yang dikendalikan oleh JKR di dalam dan luar negara melalui satu platform tunggal.

Sistem J10 yang dibangunkan ini telah merevolusikan kaedah kerja konvensional JKR melalui pendigitalan penggunaan borang dan kaedah kerja berdasarkan kepada piawaian ISO9001 JKR sedia ada

Ianya juga boleh dicapai melalui pelbagai peranti mudah alih termasuk mobil. Sistem tersebut juga turut diintegrasikan dengan sistem-sistem daripada Agensi di luar JKR bagi mewujudkan perkongsian maklumat yang efektif dan terkini.

Kelebihan utama Sistem J10 adalah untuk mempertingkatkan lagi kaedah pengurusan projek JKR supaya menjadi lebih efektif dan efisien. Fokus utama adalah bagi menghasilkan maklumat yang tepat, terkini serta telus mengenai prestasi sesuatu projek melalui gabungan paparan data dalam bentuk angka dan grafik.

Setinggi ucapan terima kasih dirakamkan kepada semua yang menjayakan Sistem J10 ini.