Date: Khamis, April 4, 2019

MAJLIS PEMETERAIAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) DALAM BIDANG BUILDING INFORMATION MODELING (BIM) DI ANTARA JABATAN KERJA RAYA (JKR) DAN UNIVERSITI TENAGA  NASIONAL (UNITEN)

Energy Sphere, UNITEN Kajang Selangor

2 April 2019

 

Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dengan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dalam bidang Building Information Modelling (BIM) merupakan satu langkah konstruktif  dalam industri pembinaan di Malaysia.

Majlis menyaksikan acara menandatangani dan pertukaran memorandum persefahaman antara Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR) Sektor Pakar, Ir Kamaluddin  b hj Abdul Rashid dan Naib Canselor UNITEN, YBhg. Dato’ Profesor Ir Dr Kamal Nasharuddin b Mustapha. Turut hadir bersama ialah beberapa pegawai pihak pengurusan atasan dan pegawai kanan dari JKR dan UNITEN.

Di dalam ucapan TKPKR Sektor Pakar, beliau menegaskan bahawa aplikasi penggunaan BIM dalam kitar hayat pelaksanaan projek adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mentransformasikan Perkhidmatan Awam dan Sektor Pembinaan Negara ke arah ‘Digital Construction’ sejajar dengan Pelan Strategik JKR Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11), Pelan Transformasi Industri Pembinaan (CITP) dan Revolusi Perindustrian Ke Empat atau IR 4.0. Hubungan kerjasama yang bakal terjalin di antara pihak JKR dan UNITEN ini dilihat sebagai titik permulaan dalam penerokaan dan peluasan potensi penggunaan BIM secara menyeluruh dalam perspektif akademik dan industri. Beliau juga  berharap agar hubungan kerjasama ini dapat mewujudkan lebih banyak lagi program akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan bagi manfaat jabatan dan institusi pengajian tinggi.

Sementara itu, Naib Canselor UNITEN memaklumkan bahawa MoU ini dirumus khas untuk membangunkan keupayaan penyelidikan dan memastikan pembelajaran sepanjang hayat dicapai dalam bidang BIM. MoU ini merupakan sebahagian inisiatif strategi kerjasama pintar di antara universiti dan agensi kerajaan bagi meningkatkan kompetensi saintifik dan teknikal dalam bidang pengurusan projek, pengurusan asset dan kejuruteraan.

Secara keseluruhannya, persefahaman kerjasama di antara kedua-dua pihak ini dilihat dapat menggalakkan peluasan kerjasama segi akademik, perundingan, kajian dan penyelidikan berkaitan skop penggunaan BIM dalam projek pembinaan. Ianya secara tidak langsung dapat membantu JKR menjayakan inisiatif BIM di mana ia merupakan salah satu strategi yang telah dikenalpasti untuk memacu produktiviti sektor pembinaan negara.