Date: Isnin, Disember 6, 2021

Majlis Penyerahan Anugerah Inovasi JKR Malaysia Tahun 2021 telah diadakan pada 6 Disember 2021 (Isnin) yang bertempat di Ruang Mezzanine Kanan, Menara Kerja Raya (Blok G) dan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Datuk Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman. Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Sektor Bangunan, YBhg. Dato’ Ir. Haji Habbali bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pakar, YBrs. Sr Amran bin Haji Mohd Majid dan Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat, YBhg. Dato’ Ir. Haji Masri bin Baharuddin.

 

Sebanyak lima (5) kategori anugerah yang dipertandingkan pada tahun ini, iaitu kategori;

  1. Anugerah Inovasi Pengurusan Pejabat Terbaik;
  2. Anugerah Inovasi Pengurusan JKR Daerah Terbaik;
  3. Anugerah Inovasi Pengurusan Pembinaan Terbaik bagi projek di antara RM500 ribu sehingga RM20 juta;
  4. Anugerah Inovasi Pengurusan Pembinaan Terbaik bagi projek melebihi RM20 juta; dan
  5. Anugerah Inovasi Pengurusan Projek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Terbaik.

 

Anugerah Inovasi JKR Malaysia Tahun 2021 diadakan bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada warga kerja JKR yang telah menzahirkan produk yang berkualiti sama ada dalam aspek pengurusan mahupun perkhidmatan teknikal.

 

Diharapkan pemenang anugerah-anugerah tersebut berupaya menjadi pemangkin kepada warga kerja JKR yang lain untuk memupuk budaya kecermelangan dalam kerja seharian sekaligus membantu usaha kerajaan mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi serta kalis cabaran masa hadapan selaras dengan visi “Keluarga Malaysia”.

 

TAHNIAH DAN SYABAS diucapkan kepada semua pemenang Anugerah Inovasi JKR Malaysia Tahun 2021.