Date: Selasa, April 11, 2023

Sebagai sebuah jabatan teknikal serta penasihat teknikal utama di negara ini, JKR merupakan penggerak dalam pembangunan infrastruktur ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun secara mampan seiring dengan hala tuju negara. Justeru itu, Pelan Strategik merupakan tunjang kekuatan JKR yang perlu diperkukuhkan melalui perancangan yang berstrategik merangkumi hala tuju, bidang fokus, objektif, strategi, beserta pelan tindakan yang komprehensif.

Penghasilan Pelan Bisnes JKR 2021-2025 dan Pelan Pengurusan Risiko Organisasi (ERM) JKR 2021-2025 pula merupakan komitmen bersepadu Jabatan dalam merealisasikan perancangan strategik yang digariskan dalam Pelan Strategik JKR 2021-2025. Perincian pelan tindakan disusuli dengan pelan operasi yang mantap dan resilient, pelaksanaan yang teratur serta pemantauan yang berkesan perlu dizahirkan oleh semua sektor Cawangan, Negeri, Wilayah dan Pasukan Projek Khas (PPK) di JKR demi mencapai matlamat penyampaian perkhidmatan yang terbaik. Dalam hal ini, Pegawai Prestasi KPI, Pegawai Prestasi Pelan Strategik dan Pegawai Pemantau Risiko merupakan tenaga penggerak pelaksanaan serta pemantauan dokumen-dokumen strategik jabatan ini yang menjadi pemangkin keberhasilan dan kecemerlangan jabatan.

Pada tarikh 6 April 2023, Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Prestasi KPI, Pegawai Prestasi Pelan Strategik dan Pegawai Pemantau Risiko JKR Malaysia. Majlis ini telah dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Perubahan dan Prestasi (BPPP), CDPK yang diterajui oleh Ketua Bahagian, YBrs. Ir. Ts. Dr. Haji Zarabizan Bin Haji Zakaria. Majlis telah disempurnakan oleh Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat iaitu YBhg. Dato Ir. Hj. Masri Bin Baharuddin. Pegawai Prestasi KPI, Pegawai Prestasi Pelan Strategik dan Pegawai Pemantau Risiko telah dilantik dan diberi kepercayaan oleh pengurusan atasan dalam memastikan pelaksanaan Pelan Bisnes dan Pelan ERM di Cawangan/Negeri/Wilayah/PPK berada dalam keadaan teratur dan sentiasa sejajar dengan pelaksanaannya di peringkat Jabatan.

 

Melalui komitmen yang padu daripada Pegawai Prestasi KPI, Pegawai Prestasi Pelan Strategik dan Pegawai Pemantau Risiko, hasil-hasil strategik yang disasarkan sepertimana diterjemahkan di dalam Pelan Strategik JKR 2021-2025  akan dapat direalisasikan. Semoga dengan berkat usaha kita semua yang berterusan, pengukuran-pengukuran yang ditetapkan dalam Pelan Strategik JKR, Pelan Bisnes JKR dan KPI akan dapat mencapai sasaran secara signifikan.

Oleh yang demikian, pelantikan Pegawai Prestasi KPI, Pegawai Prestasi Pelan Strategik dan Pegawai Pemantau Risiko bagi Cawangan/Negeri/Wilayah/PPK masing-masing merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas dan dilaksanakan sebaik  mungkin. Diharapkan Pegawai Prestasi KPI, Pegawai Prestasi Pelan Strategik dan Pegawai Pemantau Risiko dapat menggembleng usaha dalam mencapai inisiatif-inisiatif yang diketengahkan dalam Pelan Strategik JKR, Pelan Bisnes JKR dan KPI bagi memastikan JKR terus kekal relevan di negara ini.

Senarai Pegawai Prestasi Jabatan dan CDPK Tahun 2023

https://docs.google.com/spreadsheets/d/14EfQRocL5myPDInzij39BEHOpU2cWeb0/edit?usp=share_link&ouid=103891629112129037713&rtpof=true&sd=true (link is external)