Date: Sabtu, Januari 7, 2023

Majlis Penyerahan Cadangan Kerja-Kerja Naik Taraf Dan Baik Pulih Bangunan Parlimen Malaysia Fasa 2C(II) – Bahagian Blok Dewan Persidangan telah diadakan pada 6 Januari 2023 (Jumaat) bertempat di Blok Dewan Persidangan, Parlimen Malaysia.

Majlis Penyerahan ini disempurnakan oleh YBrs. Ir. Rahmat bin Rashib, Pengurus Besar Kanan Pembinaan, Pasukan Projek Khas Cawangan Kerja Bangunan Am 1 (CKBA1) selaku Wakil Pegawai Penguasa Utama kepada YBhg. Datuk Nor Yahati binti Awang, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia. Majlis ini turut diserikan lagi dengan kehadiran tetamu-tetamu kehormat YBrs. Dr. Nizam Mydin bin Bacha Mydin, Setiausaha Dewan Rakyat, YBrs. Tuan Riduan bin Rahmat, Setiausaha Bahagian Pengurusan Parlimen Malaysia, En. Azni Shah bin Sulaiman, Pengarah Urusan Blackfox Engineering Sdn. Bhd. selaku Kontraktor Utama, Pegawai-pegawai Kanan Parlimen Malaysia, Pasukan Projek Khas CKBA1 dan pasukan dari Kontraktor Utama.

Kaedah pelaksanaan projek ini adalah secara Konvensional Dalaman di bawah pengurusan Cawangan Kerja Bangunan Am 1 (CKBA1), Ibu Pejabat JKR Malaysia. YBrs. Ar. Abd. Shukor bin Ismail, Arkitek Penguasa Kanan (Yang Menjalankan Tugas Pengarah Kanan CKBA1) merupakan Pegawai Penguasa. Projek yang berprestij dan berprofil tinggi ini diselia sepenuhnya oleh Pasukan Projek Khas CKBA1. Pasukan perekabentuk selaku Head of Design Team (HODT) terdiri daripada Cawangan Arkitek, Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur, Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Cawangan Kejuruteraan Elektrik serta Cawangan Alam Sekitar dan Kecekapan Tenaga.

Tarikh Milik Tapak adalah pada 14 Julai 2021 dan diserahkan kepada Blackfox Engineering Sdn. Bhd. dengan tempoh Kontrak Asal selama 182 minggu menjadikan Tarikh Siap Asal Keseluruhan adalah pada 8 Januari 2025. Blok Dewan Persidangan ini terangkum di dalam Sectional Completion dan Perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 27 Disember 2022.

Skop penyiapan Blok Dewan Persidangan ini merangkumi:

  1. Kerja-kerja menaik taraf dan ubahsuai ruang dalaman kepada ruang pejabat sementara bagi YAB Ketua Majlis dan YAB Timbalan Ketua Majlis, ruang Kunjung Hormat, ruang Menunggu Awam, Bilik Mesyuarat YAB Ketua Majlis, Bilik Mesyuarat YAB Timbalan Ketua Majlis, ruang pejabat pegawai dan fasiliti sokongan
  2. Menaik taraf linkbridge sedia ada yang menghubungkan Blok Dewan Persidangan ke Blok Utama Parlimen Malaysia
  3. Penambahbaikan sistem pencegahan kebakaran bagi keseluruhan blok dan pembinaan baharu bangunan sokongan
  4. Penambahbaikan sistem kunci keselamatan
  5. Kerja-kerja forensik dan pembaikan struktur, hiasan dalaman, restorasi, kerja-kerja elektrikal (LV, ELV, dan ICT), kerja-kerja mekanikal dan papan tanda

Blok Dewan Persidangan ini turut dikategorikan siap dengan pencapaian Enam (6) Dalam Satu (1) iaitu :

  1. Perakuan Siap Kerja (CPC)
  2. Mencapai tarikh penyiapan yang termaktub dalam kontrak
  3. Zero Lost Time Injury
  4. Zero Complaints
  5. Zero Major Deffects
  6. Pematuhan Akta Warisan Kebangsaan 2005

Sekalung tahniah dan syabas kepada pihak Kontraktor Utama serta Pasukan Projek Khas CKBA1, JKR yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan projek ini dilaksanakan dengan jayanya. Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada Parlimen Malaysia, Jabatan Warisan Negara (JWN), Bahagian Pengurusan Projek 4, CKBA1 (HOPT) dan semua pasukan HODT atas kerjasama yang jitu dalam menjayakan pelaksanaan projek ini.