Date: Isnin, Jun 26, 2023

TUMPAT, Kelantan - 25 Jun 2023 (Isnin), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah menyiapkan satu lagi projek jalan raya untuk diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya selaku kementerian pelanggan iaitu Projek Pembinaan Flyover Dari Arah Kota Bharu Merentangi Bulatan Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor, Kelantan.

YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya bersama-sama YAB Dato' Bentara Kanan Ustaz Dato' Haji Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Flyover dari arah Kota Bharu merentangi Bulatan Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor, Kelantan pada hari ini. Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Ir. Hj. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool dan YBhg. Dato' Ir. Ibrahim bin Esa, Pengarah Kanan Cawangan Jalan.

Selain itu, Ir. Rozita binti Mat Senapi, Pengarah Pembinaan Pengurusan Projek Khas Jalan, Cawangan Jalan; Ir. Mohd Suhaili bin Ismail Pengarah JKR Negeri Kelantan; Encik Nik Badlihisham bin Nik Ismail, Jurutera Awam Penguasa Kanan Cawangan Jalan; Ir. Mazlan bin Haji Mustapha selaku Pegawai Penguasa Projek dan pegawai-pegawai JKR Malaysia hadir bersama mengiringi tetamu-tetamu kehormat dan memeriahkan majlis.

Matlamat utama projek yang dilaksanakan secara Reka dan Bina ini adalah bagi menyuraikan trafik di Jalan Kota Bharu - Pengkalan Kubor dari Level of Service (LOS) F kepada LOS C, terutamanya sekitar Bulatan Wakaf Bharu yang mengalami kesesakan lalu lintas pada waktu puncak serta sewaktu musim perayaan.

Projek ini juga merupakan projek rintis penggunaan Building Information Modelling (BIM) dalam pembinaan projek jalan dan jambatan. Kaedah penggunaan BIM akan berupaya meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan kerana keseragaman reka bentuk dan mempercepatkan tempoh pembinaan.

Projek yang bermula pada 19 Februari 2018 dan siap pada 15 Jun 2023 melibatkan skop utama seperti berikut:

  1. Membina jejambat jalan berkembar 4 lorong melintasi Bulatan Wakaf Bharu (Kota Bharu - Pengkalan Kubor) sepanjang 470 meter;
  2. Pelebaran dua (2) jambatan sedia ada iaitu Jambatan Atas Rel sepanjang 26.2 meter dan Jambatan Alor Kedemit sepanjang 25 meter; dan
  3. Menaik taraf Bulatan Wakaf Bharu sedia ada kepada persimpangan berlampu isyarat;

Setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Kerja Raya (KKR), Cawangan Jalan JKR Malaysia, pihak kontraktor dan semua agensi yang terlibat dalam menyiapkan projek ini.

Projek ini membuktikan komitmen Kementerian Kerja Raya dan JKR Malaysia dalam memastikan pembangunan infrastruktur dan industri pembinaan negara memberi manfaat kepada rakyat, di samping menyokong perkembangan ekonomi serta pembangunan yang holistik dan mampan kepada negara.