Date: Jumaat, Februari 18, 2022

Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) telah membangunkan Dokumen Laporan Pencapaian Pelan Strategik JKR Malaysia Tahun 2021 & Hubungkait RMK12 Dengan Pelan Strategik Dan Pelan Bisnes JKR Malaysia 2021-2025. Kedua-dua dokumen ini diterbitkan selaras dengan usaha jabatan yang jitu dalam memastikan Pelan Strategik JKR Malaysia 2021-2025 sentiasa berada di tahap melebihi sasaran secara signifikan sepertimana yang telah ditetapkan serta selari dengan agenda Negara.

Dokumen yang dihasilkan ini juga bertindak sebagai medium perkongsian berkaitan jalinan ketersediaan dan keterangkuman Pelan Strategik dan Pelan Bisnes JKR 2021-2025 sejajar dengan hala tuju RMKe-12. Cetusan harapan adalah memastikan pencapaian Pelan Strategik JKR dan Pelan Bisnes Jabatan 2021-2025 dapat menyumbang kepada keberhasilan RMKe-12.

 

Laporan Pencapaian Pelan Strategik 2021

Pencapaian Pelan Strategik bagi tahun 2021 bukan sahaja merangkumi pengukuran prestasi tahun semasa, namun ia juga akan menyumbang kepada prestasi keseluruhan Pelan Strategik JKR Malaysia 2021-2025 yang akan dinilai pada akhir tahun 2025 kelak.

Objektif utama penghasilan Laporan Pencapaian Pelan Strategik JKR 2021 ini adalah bagi menjelaskan secara komprehensif dimana keberhasilan pelaksanaan Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya pada tahun 2021 yang meliputi kesemua lima (5) Tema Strategik utama. Secara keseluruhannya, pencapaian Pelan Strategik pada tahun 2021 jabatan telah berjaya memperoleh markah 100% bagi kesemua Tema. Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung.

Bersandarkan kepada rekod kejayaan dan kecemerlangan pelaksanaan Pelan Strategik JKR Malaysia pada tahun 2021, diharapkan seluruh warga JKR akan terus kekal memainkan peranan penting dalam merealisasikan hala tuju dan momentum keberhasilan sasaran pengukuran yang ditetapkan. Segala kekuatan dan kelemahan yang dikenalpasti adalah lesson learned yang perlu dijadikan iktibar dan panduan serta dijadikan penanda aras dalam pelaksanaan Pelan Strategik JKR bagi tempoh empat (4) tahun yang akan datang.

Semoga dengan terhasilnya dokumen Laporan ini, JKR Malaysia akan terus mara membina kegemilangan melalui kepelbagaian inisiatif dari aneka sudut yang berpaksikan Pelan Strategik JKR Malaysia 2021-2025. Kejituan dan kesepaduan kerja berpasukan seluruh warga JKR dengan kekal istiqamah adalah pemangkin dalam memperkasakan jabatan untuk menjadi sebuah jabatan teknikal terulung negara.

Dokumen Hubungkait RMK12 Dengan Pelan Strategik Dan Pelan Bisnes JKR Malaysia 2021-2025

Umum mengetahui bahawa JKR merupakan jabatan yang bertanggungjawab ke atas pelaksanaan pembangunan infrastruktur negara. Justeru, setiap perkhidmatan dan program yang direncana serta dilaksanakan haruslah selari dengan aspirasi kerajaan demi mendokong agenda negara di samping sentiasa tangkas dalam penyampaian perkhidmatan.

Selaku agensi teknikal utama negara, JKR turut tidak terkecuali dalam mendukung dasar dan inisiatif yang direncanakan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). CDPK selaku Sekretariat Pelan Strategik JKR telah mengambil inisiatif dan langkah proaktif dengan meneliti serta mengkaji hubung kait RMKe-12 dengan Pelan Strategik dan Pelan Bisnes JKR 2021-2025 dalam memastikan JKR bergerak seiring dan sejajar dengan RMKe-12. Matlamat RMKe-12 bukan sahaja untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi, malah turut memastikan kemakmuran negara dapat diagihkan secara adil dan saksama serta tidak mengabaikan kelestarian alam sekitar.

Justeru, usaha-usaha memperkasakan jabatan perlu terus dilipatgandakan agar peranan JKR sebagai agensi teknikal utama negara kekal relevan. Selain ini, daya upaya mempertingkatkan produktiviti penyampaian perkhidmatan yang lebih jitu kepada rakyat adalah keutamaan dan dalam masa yang sama juga mengukuhkan imej sektor awam di mata umum.

Ironinya, penghasilan dokumen ini akan menjadi suatu resepi kejayaan yang bakal menjadi titik tolak dan pencetus semangat kepada warga JKR dalam menyusun pelan tindakan yang lebih komprehensif dan bersepadu bagi menggerakkan pembangunan infrastruktur negara.

Sehubungan itu pada tarikh 17 Februari 2022 (Khamis), sejurus selepas selesai Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelan Strategik JKR 2021-2025 Bil 1/2022, CDPK telah mengambil kesempatan mengadakan majlis ringkas bagi menyerahkan Laporan Pencapaian Pelan Strategik JKR tahun 2021 dan Dokumen Hubungkait RMK12 Dengan Pelan Strategik Dan Pelan Bisnes JKR Malaysia 2021-2025 yang telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) Malaysia bertempat di Lobi Aras 2, Blok G Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur.

Majlis penyerahan dokumen ini telah dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Perubahan dan Prestasi (BPPP), CDPK yang diterajui oleh Ketua Bahagian, YBrs. Ir. Ts. Dr. Haji Zarabizan Bin Haji Zakaria selaku Ketua Sekretariat Pelan Strategik JKR Malaysia. Simbolik majlis ini adalah sesi penyerahan kedua-dua dokumen tersebut oleh YBhg. Dato’ KPKR kepada :

  1. YBhg Dato' Ir. Haji Ahmad Redza bin Ghulam Rasool​ (Timbalan Ketua Pengarah Sektor Infra) – selaku Penaja Pelan Strategik JKR Malaysia
  2. YBrs. Ir. Ts. Dr. Haji Zarabizan Bin Haji Zakaria (Ketua Bhgn Pengurusan & Perubahan Prestasi) – menjalankan tugas sebagai Pengarah CDPK
  3. YBrs. Ir. Atikah binti Zakaria (Pengarah BPPK CPAB) – Wakil Peneraju Tema 1
  4. YBrs. Pn. Nik Ainun Zanariah binti Nik Abd. Rashid (Pengarah Kanan CKBA1) - Peneraju Tema 2
  5. YBrs. Ir. Haji Badioezaman bin Ab. Khalik (Pengarah Kanan CKAS) - Peneraju Tema 3
  6. YBrs. En. Shazali bin Samsudin (Arkitek Penguasa Kanan CA) –Wakil Peneraju Tema 4
  7. YBrs. Ir. Hanizan binti Shaffii (Pengarah Kanan CKE) - Peneraju Tema 5

Semoga seluruh warga JKR dapat bersama-sama merealisasikan aspirasi perjuangan dan cetusan kejayaan melalui usaha dan daya saing berterusan serta komitmen yang jitu menerusi pemerkasaan Pelan Strategik dan Pelan Bisnes JKR 2021-2025. Tuntasnya, kecemerlangan dan outcomes yang terhasil akan dapat memperkasakan pencapaian Visi dan Misi Jabatan sejajar dengan hala tuju negara.