Pada 11 Oktober 2024 (Jumaat), Majlis penyerahan dua (2) projek siap yang dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2, JKR Malaysia telah dilaksanakan dengan jayanya iaitu:
- Pembinaan Gantian Penuh 12 Bilik Darjah Dan Lain-Lain Kemudahan Di SK Jalan Haji Baki, Padawan, Sarawak, DAN
- Daif Sarawak (2021) - Pembinaan Gantian Dan Tambahan Bangunan Di SMK Sg. Paoh, Sarikei, Sarawak (Reka Dan Bina)
Majlis Penyerahan projek ini telah berlangsung di Tapak Projek Pembinaan Gantian Penuh 12 Bilik Darjah Dan Lain-Lain Kemudahan Di SK Jalan Haji Baki, Padawan, Sarawak.
Sesi menandatangani Dokumen Penyerahan Projek telah disempurnakan oleh YBhg Dato’ Ir. Jasmi bin Wahab selaku Pegawai Penguasa dan Pengarah Projek, Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) kepada YBhg Datuk Masyati binti Abang Ibrahim, Setiausaha Bahagian Kementerian Pendidikan Malaysia. Seterusnya, sesi penyerahan kunci turut dilaksanakan di antara pihak kontraktor, Pasukan Projek Khas 2, JKR Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Turut hadir sama menyaksikan Majlis Penyerahan Projek ini adalah Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya; YBhg Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR); YBhg Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); YBhg Dato’ Ir. Ibrahim bin Esa, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) JKR Malaysia; YBhg Datuk Masyati binti Abang Ibrahim, Setiausaha Bahagian KPM; YBhg Dato’ Ir. Dr. Balamurugan A/L A Gopal, Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan (CKP); YBhg Datu Dr. Haji Azhar bin Haji Ahmad, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak; Yang Berhormat Tuan Chong Chieng Jen, Ahli Parlimen Stampin dan Yang Berhormat Dato Ir. Khere Chiang Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Kitang.
Pembinaan Projek Pembinaan Gantian Penuh 12 Bilik Darjah Dan Lain-Lain Kemudahan di SK Jalan Haji Baki, Padawan, Sarawak ini bermula pada 14 April 2022 dan telah berjaya disiapkan pada 6 Julai 2024. Projek ini dilaksanakan oleh kontraktor utama melalui kaedah Konvensional Perunding dengan kos projek sebanyak RM18.34 juta dengan menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS). Komponen IBS yang terlibat adalah komponen dinding dan lantai.
Secara ringkasnya, skop rekabentuk projek Pembinaan Gantian Penuh 12 Bilik Darjah Dan Lain-Lain Kemudahan melibatkan sebuah blok pentadbiran dan akademik (4 tingkat) yang mengandungi dua belas (12) bilik darjah, pejabat guru, bilik rawatan dan pergigian, bilik komputer, perpustakaan, bilik pendidikan seni, bilik sains dan surau. Selain itu, skop kemudahan infra turut dibina dalam projek ini seperti gelanggang terbuka berbumbung, sebuah blok kantin, bilik elektrik, rumah pam, rumah sampah, pondok pengawal, tiang bendera, laluan pejalan kaki berbumbung, tempat letak basikal dan lain-lain kerja berkaitan.
Manakala Pembinaan Projek Daif Sarawak (2021) – Pembinaan Gantian Dan Tambahan Bangunan Di SMK Sg. Paoh, Sarikei, Sarawak pula telah dilaksanakan oleh kontraktor utama, pada tarikh milik tapak pada 6 Oktober 2022 dan siap sepenuhnya pada 5 Oktober 2024 secara Reka dan Bina dengan kos projek sebanyak RM15.297 juta. Projek ini turut mengaplikasikan teknologi IBS dan sistem Permodelan Maklumat Bangunan (BIM) dalam pelaksanaannya dan ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk merevolusikan sektor pembinaan ke arah pendigitalan. Elemen IBS yang digunakan untuk projek ini ialah komponen tiang, rasuk dan lantai.
Skop utama projek adalah membina sebuah blok asrama dua tingkat baharu untuk pelajar perempuan bagi menggantikan blok asrama sedia ada, blok akademik tiga (3) tingkat yang merangkumi bilik darjah, bengkel Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), bengkel Elektrik dan Elektronik, bilik Matematik, bilik Pengurusan Sukan dan Pendidikan Jasmani, rumah guru serta pondok pengawal.
Dalam usaha menyediakan fasiliti pembelajaran yang kondusif dan selesa, projek ini telah berjaya mencapai KPI penyiapan projek secara 3 dalam 1 bagi kedua-dua projek yang merangkumi Sijil Perakuan Siap Kerja (Certificate Of Practical Completion, CPC), penyiapan Penyata Akaun Muktamad (Statement Of Final Account, SOFA) dan Lukisan Siap Terbina (As Built Drawing). Pencapaian-pencapaian lain juga adalah memperolehi Sijil Occupational Permit (OP), penyerahan Operation And Maintenance Manual (O&M), sifar kemalangan (Zero Lost Time Injuries (LTI)) dan penyediaan Coffee Table Book (Digital).
Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), JKR Malaysia, pihak HOPT Cawangan Kerja Pendidikan (CKP), pihak HODT Cawangan-Cawangan Pakar JKR Malaysia, pasukan perunding, pihak kontraktor utama, pihak sub-kontraktor dinamakan (NSC) serta semua agensi yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan projek-projek ini dapat disiapkan dan diserahkan kepada pihak pelanggan dengan jayanya.
#JasaKepadaRakyat
#KitaJKR
#JKRsynergy
- 1049 bacaan