Date: Khamis, Julai 18, 2024

Majlis Penyerahan Projek kerja pembaikan cerun menggunakan kaedah “Tieback Wall” serta kerja-kerja berkaitan di KM 0.5 jalan Bukit Jugra, Kuala Langat, Selangor  telah berlangsung dengan jayanya pada 17 Julai 2024 (Rabu) bertempat di Pejabat Jurutera Daerah, JKR Kuala Langat, Selangor. Penyerahan projek ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Hanif bin Latif, Jurutera Daerah JKR Kuala Langat selaku Wakil Pegawai Penguasa projek ini kepada YBrs. Pn. Syafawati binti Asmawi, Jurutera Awam Kanan, Cawangan Kejuruteraan Cerun, JKR Malaysia. Majlis ini turut dihadiri oleh YBrs. En. Mohd Izham Bin Mohd Hanafiah, Jurutera Awam dari Bahagian Jalan JKR Selangor serta pihak kontraktor.

Projek Pembaikan Cerun ini direkabentuk oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun, Ibu Pejabat JKR Malaysia dan perlaksanaannya adalah secara Arahan Kerja (AK) kepada syarikat konsesi pembaikan cerun melalui projek penyelenggaran cerun di jalan persekutuan dan jalan negeri semenanjung malaysia (reka dan bina) iaitu syarikat Pintas Utama Sdn. Bhd. Jurutera Daerah JKR Kuala Langat dilantik sebagai Wakil Pegawai Penguasa (WPP). Konsultan yang terlibat dalam melaksanakan projek ini adalah GPC Integrated Sdn. Bhd. Antara dua kaedah utama pembaikan cerun ini menggunakan kaedah Soil Nailing dan Micropile. Matlamat utama pembinaan projek ini adalah memastikan cerun kawasan Bukit Jugra ini stabil dan selamat memandangkan kawasan ini terdapatnya Rumah Api Bukit Jugra, tempat mencerap anak bulan serta menjadi tempat rekreasi dan pelancongan bagi daerah Kuala Langat.

Pembaikan cerun ini telah bermula pada 22 Januari 2024 dan tempoh pembinaan selama 5 bulan dan dapat disiapkan sepenuhnya mengikut tarikh siap asal iaitu pada 21 Jun 2024. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) juga telah dikeluarkan dan perakukan pada 21 Jun 2024.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek ini dapat disiapkan dengan jayanya dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.